Home Nasional MOT arah konsortium feri tarik balik surcaj tiket kepada penumpang

MOT arah konsortium feri tarik balik surcaj tiket kepada penumpang

Bangunan Kementerian Pengangkutan Malayisa (MOT) di Putrajaya.

LANGKAWI – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan konsortium Ferry Line Ventures menarik balik bayaran tambahan atau surcaj yang dikenakan kepada penumpang yang membeli tiket melibatkan perjalanan Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis.

Pengarah Laut Wilayah Utara Jabatan Laut Malaysia, Mohd Hafiz Abdul Majid berkata, arahan itu dikeluarkan selepas MOT tidak bersetuju dengan cadangan konsortium berkenaan mengenakan surcaj RM10 setiap tiket untuk perjalanan feri bermula hari ini.

“Konsortium itu telah memohon untuk mengenakan bayaran tambahan atau surcaj RM10 atas alasan bagi menampung kos operasi sepanjang penjarakan sosial berkuatkuasa. Namun begitu kita telah tolak permohonan mereka dan tidak benarkan surcaj itu dikenakan.

“Pihak konsortium akur dan tidak meneruskan cadangan itu. Namun begitu saya difahamkan sudah ada penumpang membeli tiket dengan harga surcaj untuk perjalanan hari ini dan esok, mereka diminta untuk menghubungi pihak konsortium untuk mendapatkan semula bayaran tambahan yang dikenakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Hafiz berkata, sebarang tindakan ke atas pihak konsortium kerana mengenakan surcaj tanpa kebenaran akan dibincangkan di peringkat kementerian.

Harga tiket perjalanan sehala melibatkan laluan Langkawi-Kuala Kedah ialah RM23 untuk dewasa dan RM17 (kanak-kanak), manakala bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis RM18 (dewasa) dan RM13 (kanak-kanak).

Konsortium Ferry Line Ventures hanya menjual separuh tiket berbanding muatan penuh feri dan tempat duduk penumpang dijarakkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – Bernama