Home Nasional Syarikat penerbangan perlu bertoleransi, jangan buang pekerja – NUFAM

Syarikat penerbangan perlu bertoleransi, jangan buang pekerja – NUFAM

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan di negara ini perlu bersikap toleransi dan prihatin terhadap isu pemberhentian kontrak dan pembuangan pekerjaan semasa wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, jika perkara itu tidak dibendung, lebih ramai terutama mereka yang baru meneroka alam pekerjaan akan dibuang dan ia akan membawa lebih masalah khususnya kepada yang sudah berkeluarga.

“Kesatuan NUFAM amat berharap agar pekerja pekerja di sektor penerbangan ini tidak dihentikan pekerjaan di mana pekerja ini telah berkhidmat untuk membantu pihak syarikat ketika mereka memerlukan pekerja,” demikian menurut kenyataan itu.

NUFAM berharap agar golongan pekerja sektor penerbangan tidak dipinggir dan terus diberikan bantuan oleh semua pihak.

“Musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang tidak lama lagi dan ramai dari pekerja ini memerlukan bantuan kewangan dari kerajaan dengan kadar segera,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, NUFAM memaklumkan semenjak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua, lebih 200 pekerja di syarikat penerbangan di dalam negara terjejas dan telah hilang pekerjaan atas beberapa sebab penamatan kontrak pekerjaan.

Katanya, jumlah itu akan meningkat dalam masa sebulan apabila ramai antara pekerja terbabit putus mata pencarian daripada punca gaji syarikat penerbangan.

Lebih malang lagi apabila ramai golongan pekerja terbabit tidak langsung menerima pampasan atau bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Golongan pekerja yang tersasar ini telah memaklum kepada pihak Kesatuan mengenai masalah permohonan mereka juga ditolak oleh pihak LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tanpa sebab yang munasabah.

“LHDN telah meletakan golongan pekerja ini sebagai kelas pendapatan lebih dari RM4,000 dan pekerja ini sudah hilang pendapatan sejak PKP dilancarkan serta ramai dari mereka ini tidak menerima apa apa elaun kecuali gaji pokok sebanyak RM1,200,” ujarnya.

Tambahnya, ramai dalam kalangan pekerja itu adalah terdiri dari golongan muda B40 yang tersisir dari bantuan BPN seperti yang dijanjikan untuk mereka pada awalnya.

Malah katanya, ada juga yang menyatakan bahawa mereka belum masuk usia 21 tahun dan tidak boleh menerima bantuan tersebut.

“Soalannya mengapa permohonan BPN pekerja ini tidak dilulus walhal mereka juga telah bekerja tetapi tidak mempunyai sebarang rekod SSM ataupun mempunyai rekod masalah bayaran cukai?

“Ramai dari golongan pekerja ini juga adalah golongan pekerja yang baru dan ada ramai antara mereka belum berumahtangga,” kata Nufam.

Justeru, NUFAM menggesa pihak LHDN menyelidik terlebih dahulu sebelum memberi jawapan kepada golongan tersisir itu. – MalaysiaGazette