Home Utama Warga asing liat jalani ujian saringan Covid-19

Warga asing liat jalani ujian saringan Covid-19

Kelihatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penghuni menjalani saringan Covid-19 di kawasan kawalan secara pentadbiran di sekitar Pudu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid - 19 di Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Lebih 30 orang pasukan petugas kesihatan memulakan ‘pencarian’ penghuni yang menyewa rumah kedai di kawasan Jalan Pudu untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Pasukan petugas memasuki kawasan Jalan Kancil hingga ke Jalan Pudu yang diwartakan sebagai kawasan Kawalan Secara Pentadbiran yang dipagari dengan kawat duri dan dikawal anggota polis tentera.

Pasukan pegawai kesihatan dilengkapi dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) tiba ke lokasi seawal pukul 8 pagi dengan tiga van kesihatan dan memulakan proses saringan pada 9.30 pagi.

“Helo uncle, siapa ada dalam rumah. Tolong turun sekarang buat saringan. Siapa ada di atas lagi, buka mangga pintu besi ini dan turun buat saringan,” kata seorang pegawai pasukan kesihatan yang melakukan pemeriksaan di rumah tumpangan di Jalan Kancil, Pudu pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ada antara rumah kedai tiga tingkat di Jalan Kancil Pudu itu diduduki ramai warga asing dan mereka masih enggan memberi kerjasama untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Malah terdapat geriji besi pintu rumah di tingkat bawah dikunci dengan mangga hingga memaksa para petugas kesihatan menjerit meminta penghuni turun.

Salah seorang petugas kesihatan wanita mengarahkan mereka turun segera untuk melakukan ujian saringan.

Ada yang turun ke bawah hanya dengan berkain pelikat tanpa baju dengan tergesa-gesa membuka geriji besi pintu rumah dab membenarkan petugas kesihatan naik ke tingkat atas.

Mereka kemudiannya diarahkan turun untuk melakukan ujian saringan.

Situasi itu turut menarik perhatian penghuni tempatan lain khususnya warga emas yang mula berkumpul di hadapan Kompleks Plaza Pudu Plaza yang meminta pasukan keselamatan mengarahkan warga asing turun menjalani ujian saringan.

“Itu warga asing banyak duduk di atas rumah itu, dia mesti tidur tak mahu keluar dan beri kerjasama.

“Tidak perlu susah payah menjerit waktu puasa, panggil tentera sahaja, baru itu orang semua takut dan turun cepat buat ujian Covid-19,” jerit seorang awam dipercayai penghuni kawasan sekitar yang turut menyaksikan senario warga asing itu.

Di khemah saringan Covid-19 yang didirikan di Jalan Kancil, penduduk kawasan itu mula beratur untuk menjalani ujian saringan.

Difahamkan ujian saringan di kawasan Pudu akan dilaksanakan sehingga petang ini namun jumlah penghuni atau penduduk yang terlibat belum dapat disahkan.

Dalam pada itu kelihatan penduduk yang menempah dan menerima barang keperluan seperti air mineral dan barang keperluan asas menerusi kawat duri di kawasan yang  dikawal ketat oleh anggota polis dan tentera. – MalaysiaGazette