NEW DELHI – India telah merekodkan kes Covid-19 lebih tinggi dari China ketika negara ini terus menarik balik langkah yang lebih ketat untuk mengekang virus tersebut.
Negara kedua terpadat di dunia ini telah melaporkan 86,508 jangkitan dan 2.760 kematian.
China telah mencatatkan 84, 038 kes dan 4, 637 kematian.
Sebilangan besar kes jangkitan India didaftarkan di bandar-bandar utama yang merupakan pusat aktiviti ekonomi, sekali gus menimbulkan cabaran kesihatan awam dan ekonomi.
Hampir satu pertiga daripada kes tersebut direkodkan di ibu kota Delhi, yang mempunyai populasi 19 juta dan Mumbai, pusat kewangan negara itu.
Mumbai memiliki 22 juta penduduk dengan 17,512 kes Covid-19, memberi tekanan kepada infrastruktur kesihatan.
Hospital-hospital dibanjiri dengan pesakit manakala dianggarkan 487 anggota polis positif Covid-19.
Virus maut itu terus tersebar di awasan-kawasan setinggan, menyebabkan ia menjadi kebimbangan utama kerajaan.
Di Dharavi, kawasan setinggan terbesar di Asia mencatatkan 84 kes baharu pada hari Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes di kawasan berkenaan menjadi 1,145 dengan 54 kematian.
New Delhi pula mengesahkan 8,995 kes positif Covid-19.
Uttar Pradesh dan Haryana pula telah menutup sempadannya tetapi dikecualikan untuk perkhidmatan utama.
Pakar-pakar berkata, ekonomi akan kembali pada landasan bergantung bagaimana virus dapat dikawal di bandar-bandar utama.
Bandar lain yang mencatat jumlah jangkitan yang tinggi termasuk Chennai dan Ahmedabad, masing-masing dengan 5,946 dan 7,171 kes pada hari Jumaat.
“Menjadi semakin jelas bahawa Covid-19 tidak akan dapat ditangani dengan segera, ekonomi perlu dikendalikan di samping risiko jangkitan yang berterusan, mungkin untuk jangka masa yang lama,” kata Rishi Sahai, Pengarah Urusan Cogence Advisors.
Katanya, sebanyak 130 daerah yang diklasifikasikan sebagai daerah zon merah pada masa ini adalah beberapa bahagian urban dan perindustrian di negara ini, enyumbang 41 peratus aktiviti ekonomi nasional dan 38 peratus output industri India. – MalaysiaGazette