Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
Tarikh 16 Mei telah diisytihar sebagai hari untuk kita meraikan para guru dan tahun ini kita sambut Hari Guru dalam suasana yang cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kemeriahan sambutan tidak begitu dirasakan kerana semua
aktiviti, program mahupun perhimpunan tidak dapat diadakan di sekolah seperti biasa. Hal ini kerana, sektor pendidikan adalah antara sektor yang menerima kesan langsung angkara ancaman wabak Covid-19 di mana sekolah di negara kita masih ditutup. Masing-masing sedang menunggu pengumuman tarikh pembukaan sekolah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Namun kita percaya ancaman wabak ini tidak akan sama sekali membuat kita lupa segala jasa, sumbangan dan pengorbanan para guru yang tanpa jemu dan putus asa terus mendidik anak-anak menjadi warganegara dan manusia yang berguna kepada
keluarga, agama, bangsa dan negara. Sudah tentu segala jasa ini tidak mungkin kita dapat balas mahupun ada galang gantinya.
Sesungguhnya jasa guru terlalu besar, seperti kata Sasterawan Negara, Usman Awang dalam pusinya Guru Oh Guru yang antara lain berbunyi:
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Betul, semuanya bermula dan dimulakan oleh seorang guru sehinggakan gelaran guru itu akan kekal abadi di bibir anggota masyarakat walaupun selepas guru itu bersara. Begitulah hebatnya insan yang bergelar guru.
Tema Hari Guru yang dipilih oleh KPM tahun ini iaitu, “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” boleh dikatakan cukup signifikan dan mendalam maksudnya. Ringkasnya, guru dan ilmu tidak mungkin dapat dipisahkan. Guru bukan saja menurunkan ilmu kepada anak murid, tetapi demi memastikan ilmunya sentiasa relevan dan mengikut arus perkembangan, guru terus mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasakan ilmu dan tahap profesionalisme yang ada. Ini membuatkan seorang guru itu menjadi relevan sepanjang zaman, walaupun generasi pelajar silih bertukar ganti setiap tahun. Ini membolehkan para guru dapat terus membina generasi baharu negara ini.
Contoh yang paling signifikan ialah pada hari ini ketika kita diserang wabak dan sekolah terpaksa ditutup untuk satu tempoh yang begitu lama, guru tetap tidak duduk diam di rumah. Guru terus mencari jalan alternatif untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) agar anak-anak tidak ketinggalan terutamanya yang akan menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi. Para guru dilihat menggunakan segala platform digital dan e-pembelajaran yang ada untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran. Antara platform yang cukup sinonim
sekarang ialah, Google Classroom serta media sosial seperti Facebook, kumpulan WhatsApp dan Telegram kelas serta Youtube. Melalui kaedah e-pembelajaran ini, para murid masih dapat berinteraksi dengan guru di samping guru dapat meneruskan sesi pengajaran termasuk urusan kerja rumah dan latihan.
Ironinya sepertimana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan, begitu jugalah dengan proses pembelajaran di mana sebagai manusia, proses pembelajaran dalam kehidupan kita akan berterusan sepanjang hayat. Oleh itu apa yang penting ialah,
kita perlu berguru dengan guru yang betul, serta yang mempunyai pengetahuan dan ilmu yang sewajarnya. Hal ini sangat mustahak kerana guru bukan saja memberikan
ilmu tetapi akan membantu dalam proses pembentukan sahsiah dan jati diri kita. Anggota masyarakat wajar menghargai dedikasi dan sikap tanggungjawab yang dizahirkan oleh para guru.
Justeru, tidak kira siapapun kita pada hari ini, jangan sesekali melupakan segala jasa dan sumbangan para guru yang telah mewarnai kehidupan kita selama ini. Sedarlah, tidak mungkin kita akan berjaya tanpa kehadiran insan bergelar guru dalam
kehidupan kita. Kepada para guru, teruskanlah semangat dan perjuangan kalian kerana rakyat dan negara meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk melahirkan generasi masa hadapan yang boleh meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan
negara ini. Terima kasih cikgu.
Selamat menyambut Hari Guru.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia