KUALA LUMPUR – Bukan hanya pengurusan dan pemain Kedah yang melalui masalah tunggakan gaji, Melaka United juga nampaknya turut mengalaminya, kata pemain pertahanan kelab itu, Razman Roslan.
Dia yang juga kapten skuad Hang Tuah itu menjelaskan yang tunggakan gaji telah berlaku sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan pada 18 Mac yang lalu.
Dengan hari raya Aidilfitri yang kian menjelang, Razman terpaksa tampil ke depan menuntut pembayaran gaji dan amat berharap yang masalah ini akan segera diselesaikan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).
“Mereka seharusnya menyelesaikan tunggakan ini segera kerana ketika ini bulan Ramadan dan hari raya juga sudah hampir tiba,” tegas bekas pertahanan skuad kebangsaan itu sambil berkata yang isu tunggakan ini sudah berlanjutan agak lama.
“Masalah tunggakan gaji ini berlaku lama sejak sebelum pandemik ini melanda lagi. Saya amat berharap yang pihak pengurusan [MUSA] akan selesaikannya dengan kadar segera,” katanya mengenai masalah tunggakan gaji pemain Melaka United ke The Star.
Sebelum ini, Melaka United telah pun dipotong tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat masalah yang sama dan telah terperosok ke kedudukan ke-11 Liga Super 2020 dan kini hanya meraih tiga mata daripada empat perlawanan.
Dalam pada itu, hasil pertemuan pengendali, Zainal Abidin Hassan bersama pihak pengurusan sebelum itu menyaksikan yang tunggakan gaji pada bulan Mac dikatakan akan diselesaikan pada bulan itu selain potongan gaji untuk bulan April.
Pada musim lalu, bekas kapten pasukan, Shukor Adan terpaksa mengambil tindakan meninggalkan pasukan ketika saingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas pasukan melalui masalah yang sama dan ianya dinoktahkan pada Januari yang lalu. – MalaysiaGazette