KUALA LUMPUR – Setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Begitulah nasib seorang peguam wanita yang telah menghilangkan diri selama lapan tahun selepas disyaki melakukan jenayah pecah amanah melibatkan penjualan hartanah namun akhirnya ditahan polis.
Bagaimanapun tindakan licik suspek yang telah menyembunyikan diri berjaya dihidu polis apabila akhirnya suspek dicekup menerusi Op Wanted yang dilancarkan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak pada April lalu.
Malah suspek berusia 41 tahun itu bakal dituduh di Mahkamah Petaling Jaya dekat sini esok.
Kenyataan Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Petaling Jaya hari ini berkata, pihaknya akan menuduh seorang peguam bersabit dengan empat kes jenayah komersial iaitu pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Suspek seorang wanita warga tempatan berusia 41 tahun merupakan seorang peguam yang telah dilantik dan diamanahkan untuk menguruskan wang hasil jualan rumah dan juga lot tanah oleh empat pengadu yang berbeza.
“Bagaimanapun suspek telah disyaki menyalahgunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi tanpa memulangkan wang tersebut kepada empat pengadu.
“Tindakan suspek telah mengakibatkan empat pengadu tersebut mengalami kerugian berjumlah lebih kurang RM340,000,” kata kenyataan itu.
Kejadian itu berlaku sekitar tahun 2011 dan juga tahun 2012 dan suspek telah menghilangkan diri selepas perbuatan jenayah itu.
“Bagaimanapun dia telah ditangkap oleh pihak Polis dari JSJK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 12 Mei 2020 menerusi Op Wanted yang telah di lancarkan pada 1 April 2020.
“Esok (18 Mei) kita akan menuduh wanita itu dalam 4 kes pecah amanah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9.30 pagi,” tegas kenyataan itu.-MalaysiaGazette