KUALA LUMPUR – Kemampuan pasangan suami isteri, S. Pavithra dan M. Sugu menarik perhatian rakyat berbilang bangsa menerusi video masakan yang mereka muatnaik di dalam laman Youtube ternyata membanggakan masyarakat India di negara ini.
Naib Presiden MIC, Senator Datuk T. Mohan berkata, pasangan tersebut adalah contoh terbaik bagaimana masyarakat India di negara ini boleh menggunakan kaedah dalam talian untuk memupuk perasaan muhibah di kalangan masyarakat dan pada masa yang sama boleh menambah pendapatan keluarga masing-masing.
“Pasangan suami isteri ini menggunakan kaedah yang cukup bagus, memperkenalkan masakan orang India kepada orang bukan India dengan menggunakan bahasa Malaysia, ia ternya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat hingga saya sendiri tertarik untuk nak rasa (masakannya).
“Kami di MIC bersedia untuk membantu mereka, Puteri MIC sebagai contoh ada menziarahinya dan memberi sumbangan (yang perlu) kepada pasangan ini.
“Saya (secara peribadi) suka kaedah ‘marketing’ pasangan ini kerana tidak tertumpu kepada satu masyarakat semata-mata, mereka juga menonjolkan kehidupan yang biasa-biasa sahaja, ini yang membuatkan orang suka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat orang Asli di Kampung Koa Serigala, Hulu Selangor hari ini.
Pavithra dan Sugu yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama saluran ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai lebih 400,000 pengikut itu sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.
Malah baru-baru ini Pavithra dikejutkan dengan bungkusan hadiah istimewa daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka mendapat hadiah tripod, ketuhar gelombang mikro, ketuhar dan barang masakan seperti beras, minyak dan rempah daripada Muhyiddin.
Muhyiddin juga ada memberi kad ucapan dengan tulisan ‘keep up the good work and stay at home’ (teruskan usaha baik dan duduk di rumah).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghargai pasangan berkenaan.
“Saya tengok dia dan suaminya cukup terkenal di kalangan orang Melayu, kalau ada kesempatan nanti saya sendiri nak melawat pasangan ini di rumah mereka di Sungai Siput.
“Ini yang saya katakan tadi, masyarakat India boleh mencontohi pasangan ini seperti menggunakan kaedah dalam talian sekaligus boleh memberi sumber pendapatan tambahan kepada ekonomi mereka,” ujarnya lagi – Malaysia Gazette
Ya…..Yg penting kita jgn bersikap racist..