KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong hari ini mendedahkan baginda telah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri semasa pertemuan yang berlangsung pada jam 5 petang, 24 Februari lalu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tetap dengan keputusannya, titah baginda.
Rentetan daripada keputusan Dr Mahathir itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu.
Ia selaras dengan Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan tersebut.
Susulan itu, pada 25 dan 26 Februari lalu, baginda telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.
”Pada 29 Februari lalu, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai wakil Perdana Menteri.
”Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.
”Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya,” titah baginda semasa membuka Penggal Ketiga Sidang Parlimen ke-14 di sini.
Ini kerana, titah baginda, kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa penghujungnya
Selepas melalui proses berkenaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, baginda menegaskan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti.
“…dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” titah baginda sambil menegaskan telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
Baginda menaruh keyakinan kepada Muhyiddin untuk membawa negara ke tahap lebih tinggi, selain melaksanakan amanah yang digalas dengan jujur dan penuh tanggungjawab.
Pesan baginda, jangan sesekali mengabaikan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette