KUALA LUMPUR – Gempar seketika penduduk setempat di Ampang apabila sebuah bas Rapid KL yang terbakar hingga hangus awal pagi tadi di kawasan perumahan kini dalam siasatan pihak berwajib.
KUALA LUMPUR – Penduduk Taman Sri Watan di Ampang gempar apabila sebuah bas Rapid KL terbakar awal pagi ini.
Menurut kenyataan dari Rapid KL, kebakaran berlaku kira-kira jam 4.30 pagi dan bas laluan T302 ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke hab Bukit Belacan untuk memulakan perkhidmatan hari ini.
“Susulan tindakan pantas pemandu menghentikan kenderaan dan menghubungi pusat kawalan bas untuk mendapatkan bantuan bomba yang tiba pada jam 4.50 pagi.
“Kebakaran dapat dipadamkan pada sekitar jam 5.20 pagi dengan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan dan bas pada masa itu belum lagi mengambil penumpang.
“Menurut siasatan awal, bas tersebut telah lulus pemeriksaan berkala Puspakom dengan rekod penyelenggaraan bas juga tidak menunjukkan sebarang isu.
“Malah jadual pencegahan dan penyelenggaraan telah dipatuhi,” kata Rapid KL menjawab pertanyaan yang dikemukakan MalaysiaGazette.
Menurut kenyataan itu, sepertimana dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memastikan perkhidmatan bas Rapid KL berjalan dengan lancar, setiap bas perlu menepati jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan syarikat.
“Ketika ini juga, pihak Rapid KL dan bomba sedang bekerjasama mengenalpasti punca kejadian dalam masa terdekat,” ujarnya. –MalaysiaGazette