Home Akhbar Cina Gaji RM100 sehari, pekerja tempatan tak tahan selepas tiga jam

Gaji RM100 sehari, pekerja tempatan tak tahan selepas tiga jam

Suasana di pasar borong.

KUALA LUMPUR – Dengan penahanan pekerja tanpa dokumen sah di Pasar Borong Kuala Lumpur, ramai warganegara yang memerlukan kerja dalam tempoh kawalan pergerakan turut bekerja di pasar yang pernah terkenal dengan kehadiran pendatang asing itu.

Walau bagaimanapun, China Press melaporkan, ramai pekerja tempatan tidak dapat bertahan dengan suasana kerja yang sukar di pasar borong, walaupun gaji harian RM100 ditawarkan.

Ramai orang tempatan hanya mampu bertahan beberapa hari, malahan ada yang memilih berhenti hanya selepas bekerja selama tiga jam.

Seorang pemborong di pasar memberitahu, daripada 40 pekerja tempatan yang digaji sejak dua minggu lalu, yang masih tinggal hanyalah lima orang.

Menurut akhbar itu, terdapat 448 gerai dalam Pasar Borong Kuala Lumpur dengan 216 menjual sayur, hasil laut (168) dan buah-buahan (64).

Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,000 malahan mencecah 5,000 pekerja asing dan pelarian mencari rezeki di pasar itu sebelum ini.

Selepas penguatkuasaan dijalankan, kini hanya terdapat lebih 60 pekerja asing berdokumen sah yang bekerja di situ.

Walaupun pemborong di pasar menawarkan gaji harian RM100 yang menjanjikan pendapatan bulanan lebih RM1,200 hingga RM2,500 (bekerja tiga hari seminggu dan gaji berlainan mengikut jenis gerai), tetapi orang tempatan tidak berminat kerja pasar.

Pengerusi Persatuan Hasil Laut Kuala Lumpur, Xin Jian Jia berkata, peniaga cuba menggaji pekerja tempatan setiap hari.

Katanya, kadar mobilasi pekerja tempatan bagaimanapun sangat tinggi dan ramai yang berhenti kerana gagal menghadapi suasana kerja di pasar.

Keadaan itu, katanya, memaksa pemborong menolak dan menghantar barang dengan sendiri kerana kekurangan pekerja.

Ujarnya lagi, dia telah menggaji 40 pekerja tempatan sejak dua minggu lalu, tetapi yang tinggal sekarang hanyalah lima orang.

“Kebanyakan orang berhenti kerana gagal menampung beban kerja yang tinggi dan kasar.

“Mereka perlu menolak barang yang beratnya berpuluh-puluh kilogram antara tempat meletak kenderaan dengan pasar. Setiap hari, mereka perlu melakukan rutin ini puluhan kali lamanya,” katanya.

Jian Jia berkata, pemborong juga berdepan kerugian kerana terpaksa membelanjakan lebih RM300 untuk setiap pekerja baharu yang perlu diuji dan disahkan bebas COVID-19 sebelum memulakan kerja.

“Tak sangka, mereka berhenti selepas bekerja beberapa hari sahaja,” katanya.

Jelasnya, untuk gerai ikan, pemborong di pasar menawarkan gaji harian RM100 dengan pendapatan bulanan dianggarkan antara RM2,000 hingga RM2,500.

“Waktu bekerja pada hari kerja adalah dari 11 malam hingga 7 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

10 Komen

  1. TSAM need to do beyond what normally was done.. The policy need to be local first , always and without excuse.

  2. TSAM harus tetap dengan pendirian utamakan rakyat dengan wajibkan persekitaran kerja yg berkebajikan. Ada KWSP, ada Union untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Kerja tetap, bukannya casual worker. Ada masa depan kerja susah pun orang sanggup.

    Sampai bila nak dengar cakap puak2 nie. Untung banyak, income tax jarang yang nak bayar. Cuba TSAM buat semakan pemilik, semua tauke2 nie, samseng ke peniaga. Tauke2 inilah puncanya PATI berkembang biak. Sebelum ini PATI2 ini tak pernah kena tangkap pun. Sapa AlPacino dibali tirai2. Hentikan semua ini, sekarang dah 2020, pasar bukan seharusnya tempat kotor tempat penyakit merebak seperti tahun 70han.

    • Setuju. Dengar byk cerita Pasar Borong Selayang dikawal gangster. Mereka ni lah yg import pati ni. Pihak berkuasa perlu cari siapa Godfather nya

  3. ada yang sanggup tapi kena ada hebahan yang luas pada penganggur disetiap daerah. nanti mereka akan pergi mencarinya.

  4. dari apa yang saya dengaq mereka buakn di bayar rm100 tapi hanya rm50 sahaja..

  5. Tora Tora betui…jangan dengaq puak puak nih.. bersihkan tempat nih dari samseng.. dan buat penelitian.. kalau betul nak selesaikan..tapi terus terang saya percaya tempat ini akan di penuhi pati balik selepas setahun..

  6. Saya yakin tentu ada yg tahan dgn kerja2 pasar ni,saya sendiri pernah bekerja dlm suasana lbih teruk dri pasar sebelum ni,dlm keadaan terik tak berbumbung di lereng2 bukit memotong rumput dlm kawasan kem askar di batu arang,dgn gaji hnya rm350 sebulan pd tahun 1995..berhenti hnya apabila kompeni tak dpt sambung kontrak dgn pihak tentera.. boleh pun tahan,rakyat tempatan pun jgn manja sgt,yg penting pastikan mereka benar2 byr gaji yg sepatutnya

  7. Ramai rakyat malaysia yg nk bekerja 3D ni. Tp mrk2 ni..bukan nya duduk di selangor @ KL. Nk dtg ke kl jauh2 dr sabah ,srwak perlukan kos. Sampai di kl…nk cari kerja.. dan tempat tinggal pula. Minta tolong ngo@jabatan kerajaan@ ada agen yg boleh tolong bantu . Dpt kerja 4-5 tahun kumpul duit..boleh balik kpg dan majukan kpg pula.

  8. Gaji RM100 sehari pun, kalau majikan bersikap tuan mengabdi pekerja sendiri macam biasa mereka mengabdi pekerja asing pun tak guna juga. Buat sendirilah, jadi abdi sendiri. Ingat duit boleh beli segala-galanya?

Comments are closed.