Home Nasional JPJ jangka kutip RM5 juta sehari

JPJ jangka kutip RM5 juta sehari

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid bercakap pada sidang media pemantauan pengoperasian kaunter JPJ ketika dibuka kepada orang ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 18 MEI 2020

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dijangka mengutip hasil kira-kira RM5 juta sehari di 82 pejabatnya seluruh negara, hari ini.

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kutipan itu mampu dicapai selepas kesemua pejabat JPJ termasuk kaunter bergerak, kiosk dan rakan niaganya dibuka sepenuhnya, hari ini.

“Bagi pembukaan kaunter untuk semua urus niaga hari ini, JPJ menjangkakan akan mengutip hasil melebihi RM5 juta sehari.

“Bagi JPJ Negeri Selangor sahaja, JPJ dijangka mengutip kira-kira RM1 hingga RM1.6 juta,” katanya pada sidang media di JPJ Negeri Selangor, Padang Jawa, di sini, hari ini.

Menurut Shaharuddin, sebelum ini juga pihaknya telah membuka kaunter bagi beberapa urus niaga secara berperingkat dengan memfokuskan kepada kenderaan perdagangan bermula 29 April lalu.

“Sejak kaunter JPJ dibuka pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), secara purata JPJ telah mengutip hasil sebanyak RM1.1 juta sehari.

“Dalam tempoh sama iaitu dari 29 April hingga 12 Mei 2020, JPJ telah berjaya mengutip RM83 juta daripada transaksi kenderaan perdagangan sahaja,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac hingga 30 April lalu, JPJ telah mencatatkan 1.85 juta transaksi tertunggak bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh.

“Manakala bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) pula, sebanyak 981,883 lesen yang direkodkan tertunggak sepanjang tempoh PKP.

“Ia merangkumi Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Konduktor (CON) dan Permit Memandu Antarabangsa (IDP),” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin menggalakkan orang ramai yang ingin memperbaharui lesen dan cukai jalan agar membuat bayaran secara dalam talian.

“Kita galakkan orang ramai menggunakan e-pembayaran seperti kad debit dan kad kredit.

“Kami tidak galakkan bayar secara tunai bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette