Home Politik Masir pertikai tempat duduknya di Dewan Rakyat

Masir pertikai tempat duduknya di Dewan Rakyat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) kerana Parti Bersatu Sarawak (PSB) tidak menyokong PN.”

Itu penjelasan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat yang juga ahli PSB – parti yang menjadi pembangkang baik peringkat Pusat dan negeri.

Datuk Masir Kujat

Dalam satu kenyataan petang ini, beliau mendakwa diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan PN di Dewan Rakyat pagi ini.

“Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri.

“Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen PN kerana PSB tidak menyokong PN,” katanya.

Berdasarkan pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan oleh kakitangan parlimen, seramai 114 ahli parlimen (termasuk Masir) duduk di blok kerajaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSB, George Lo berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan PSB adalah parti komponen gabungan GPS.

“Ini tidak betul sama sekali. Kami tidak sokong GPS. Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang kami akan bertanding di 65 kerusi menentang GPS.

“PSB akan menjadi alternatif kepada GPS untuk rakyat Sarawak,” katanya kepada Malaysiakini menerusi hantaran WhatsApp.- MalaysiaGazette