KUALA LUMPUR – Dua pemain Malaysia yang beraksi di saingan Thai League 1, Dominic Tan dan Norshahrul Idlan Talaha bersetuju gaji mereka dipotong oleh kelab masing-masing.
Menurut Dominic, beliau setuju dengan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus dan memahami mengapa langkah tersebut diambil oleh pihak kelab.
“Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ada keluarkan kenyataan, di mana semua kelab perlu melakukan pemotongan gaji pemain sehingga 50 peratus.
“Saya faham situasi ini kerana ia dihadapi di seluruh dunia, jadi terima sahaja apa yang sudah dibincangkan oleh FAT dan FIFA,” katanya menurut laporan Stadium Astro.
Seorang lagi pemain, Norshahrul pula menegaskan gaji beliau dipotong sebanyak 30 peratus oleh BG Pathum United dan pemotongan telah dilakukan sejak bulan lalu.
“Pemotongan gaji telah dibuat sejak bulan lalu. Saya dan kelab ada berbincang mengenai pemotongan gaji sebanyak 30 peratus selama tiga bulan.
“Kami juga ada berbincang tentang insentif jika pasukan dapat menduduki kelompok tiga terbaik dalam liga, pemotongan sebelum ini akan diberikan semula,” kata Matyo.
Difahamkan, kedua-dua pemain akan menerima gaji penuh sekiranya saingan Thai League 1 kembali disambung pada September ini.
Semua saingan liga domestik Thailand dihentikan buat sementara waktu ekoran penularan wabak Coronavirus (Covid-19). – MalaysiaGazette