Home Dunia Pesawat angkasa rahsia tentera udara AS kembali ke orbit

Pesawat angkasa rahsia tentera udara AS kembali ke orbit

Roket Atlas V membawa kapal angkasa, X-37B untuk melakukan misi rahsia.

CAPE CANAVERAL – Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) melancarkan roket Atlas V yang membawa pesawat angkasa, X-37B untuk melakukan misi rahsia.

Roket tersebut dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida semalam, sehari selepas keadaan cuaca buruk yang menyebabkan pelancaran itu dibatalkan pada Sabtu lalu, lapor BBC.

Pesawat itu yang juga dikenali Orbital Test Vehicle (OTV – Kenderaan Ujian Orbit) akan melepaskan sebuah satelit ke dalam orbit selain menguji teknologi kuasa sinar.

Kapal angkasa X-37B

Ia merupakan misi keenam pesawat tersebut.

Pelancaran itu dilakukan di hadapan petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan dengan Covid-19.

Pesawat angkasa X-37B adalah program rahsia dan maklumat mengenainya tidak begitu diketahui. Maklumat yang sangat sedikit didedahkan Pentagon mengenai misi dron itu dan keupayaannya pada masa lalu.

“Misi X-37B akan melakukan lebih banyak ujian berbanding misi sebelum ini,” kata Setiausaha Tentera Udara, Barbara Barrett pada awal bulan ini.

Salah satu ujian yang akan dijalankan ialah menguji kesan radiasi ke atas biji benih dan bahan lain.

Program X-37B bermula pada 1999. Pesawat itu menyerupai kapal angkasa yang mana operasinya ditamatkan pada 2011 namun saiznya lebih kecil.

Ia boleh meluncur pulang ke bumi dengan memasuki atmosfera seterusnya mendarat di landasan, seperti kapal angkasa sebelum ini melakukannya.

Pesawat yang dibina oleh Boeing seberat 4,989 kilogram itu berukuran 9 meter panjang dengan lebar sayap 4.6 meter menggunakan panel solar untuk mendapatkan kuasa ketika berada di orbit.

Penerbangan sulungnya dilakukan pada April 2010 dan pulang selepas misi yang memakan masa selama lapan bulan.

Misi terbaharu berakhir pada Oktober 2019, selepas berada di orbit selama 780 hari.

Tempoh untuk misi kali ini tidak diketahui. – Agensi