Home Sukan Sturridge bakal sertai Buriram United

Sturridge bakal sertai Buriram United

Daniel Sturridge.

KUALA LUMPUR – Kelab gergasi Thailand, Buriram United dilaporkan berminat untuk menandatangani bekas penyerang England dan Liverpool, Daniel Sturridge bagi menghadapi saingan Thai League 1 pada musim ini.

Menurut laporan daripada SMMSPORT, beberapa media Thailand menyiarkan spekulasi mengenai perpindahan pemain itu yang kini telah menjadi bualan para peminat bola sepak di Asia.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Buriram United dan pegawai kelab tersebut enggan mengulas lanjut mengenai usaha mereka untuk mendapatkan pemain tersebut.

Sturridge kini berstatus ejen bebas sejak Mac lalu setelah kontraknya dengan kelab Turki, Trabzonspor dibatalkan atas persetujuan bersama.

Dia sempat beraksi dalam 16 perlawanan dan menjaringkan 7 gol.

Pemain yang berusia 30 tahun itu pernah menjuarai UEFA Champions League sebanyak dua kali bersama Chelsea dan Liverpool.

Dia juga mempunyai pengalaman beraksi di Piala Dunia 2014 bersama skuad kebangsaan England.

Buriram United juga kini sedang mencari pemain import baharu selepas mereka menamatkan kontrak semua pemain import termasuk dua tonggak utama iaitu Andres Tunez dan Jong Jae-Yong pada bulan lepas.

Namun, sejak ketiadaan Diogo Luis Santo yang memilih untuk menyertai JDT pada tahun 2019, Buriram masih gagal mencari mesin pencetak gol berkualiti sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai kemasukan Sturridge. – MalaysiaGazette