KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.1 juta rakyat Kazakhstan kembali bekerja selepas republik itu menamatkan tempoh darurat pada 11 Mei lalu.
Presidennya, Kassym-Jomart Tokayev berkata, pada masa sama, banyak kedai telah dibuka sementara pusat pendidikan dan kemudahan lain kembali beroperasi seperti biasa.
Menurut beliau, taman rekreasi turut dibenarkan pembukaan kepada orang ramai untuk menjalani aktiviti gaya hidup secara normal.
Namun beliau memberi amaran bahawa krisis penularan wabak Covid-19 belum lagi selesai.
“Dua bulan terakhir ini tidak mudah bagi negara kita. Krisis belum dapat di atasi sepenuhnya. Namun kemuncak wabak itu sudah berakhir.
“Jawatankuasa Darurat akan diubah menjadi Jawatankuasa Negeri untuk pemulihan pertumbuhan ekonomi.
“Sekatan kuarantin di negara ini akan ditarik secara berperingkat apabila keadaan di setiap wilayah bertambah baik dan banyak kawasan mulai pulih daripada wabak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia & The Arab World (ASWAQ) di sini hari ini.
Kazakhstan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan mengehadkan perjalanan serta perdagangan bagi membendung penularan virus tersebut pada 15 Mac lalu.
Mulai 11 Mei lalu, pengangkutan udara republik itu juga turut disambung semula untuk penumpang.
Sebelum itu, hanya enam bandar membuka lapangan terbang dan ketika ini tujuh lagi bandar menyertainya selepas banyak sekatan lain ditarik oleh kerajaan.
“Kerajaan perlu memperluaskan dan menerapkan peraturan mengenai tahap kebersihan. Syarikat kecil, sederhana dan besar mesti beroperasi selaras dengan peraturan baharu yang diperkenalkan.
“Masyarakat perlu mematuhi penjarakan sosial dan memakai topeng di kawasan awam harus menjadi norma baharu pada hari ini,” katanya.
Tokayev turut memaklumkan sekatan pengangkutan antara wilayah masih berkuatkuasa dan pengangkutan awam hanya beroperasi pada kadar 50 peratus daripada muatan sementara penumpang diwajibkan memakai topeng muka. – MalaysiaGazette