Home Nasional 43 peniaga ayam di Selangor dikenakan notis

43 peniaga ayam di Selangor dikenakan notis

Pegawai KPDNHEP bertanyakan sesuatu kepada peniaga ayam ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pasar awam di Selangor. Foto: Facebook KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Sebanyak 43 notis dikeluarkan terhadap peniaga ayam di sekitar Selangor kerana didapati menjual barang kawalan melebih harga sepatutnya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, semua notis yang dikeluarkan adalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pemeriksaan diperingkat pembekal ayam telah dijalankan dan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat harga ayam.

“Setakat hari ini sebanyak 43 notis telah dikeluarkan kepada peniaga ayam di sekitar Selangor,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan tersebut bertujuan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan dengan cara tidak munasabah.

Justeru, KPDNHEP mengingatkan agar peniaga perlu sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang manakala pengguna pula perlu bijak dalam berbelanja.

“Pengguna pula perlulah merancang perbelanjaan barangan keperluan. Adalah diingatkan gagal merancang perbelanjaan akan menyebabkan pembaziran,” katanya. – MalaysiaGazette