Home Ekonomi Kerajaan disaran lancar Prihatin 3.0 kukuhkan infra digital

Kerajaan disaran lancar Prihatin 3.0 kukuhkan infra digital

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melancarkan pakej rangsangan Prihatin 3.0 yang menyasarkan kepada infrastruktur digital dan fizikal yang mendukung usaha digitalisasi.

Menurut Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi EMIR Research, Jason Loh Seong Wei, Prihatin 3.0 boleh juga dimasukkan ke dalam pelan pemulihan ekonomi negara untuk tempoh jangka sederhana dan panjang.

Jelasnya, infrastruktur digital terdiri daripada prasarana yang membolehkan dan memperkasakan kesalinghubungan pada kelajuan yang lebih tinggi seperti rangkaian gentian optik dan teknologi 4G ( sekarang terdapat 5G tanpa wayar) dan pengkomputeran awan atau server maya (Internet).

Bagi melengkapkan platform tersebut, infrastruktur fizikal perlu menuju ke arah digitalisasi, dengan menjadi “tuan rumah” kepada infrastruktur digital seperti kabel yang mengandungi jaringan gentian optik dan pusat pangkalan data yang menjadi tempat untuk pengkomputeran awan.

Tambahnya, pakej rangsangan harus terhad kepada dua perkara ini sahaja. Ia untuk memastikan pakej rangsangan ini muncul tepat pada masanya, disasarkan untuk golongan yang memerlukannya dan bersifat sementara.

Sementara bermaksud defisit yang lebih tinggi tidak akan menganggu konsolidasi fiskal, katanya.

“Buat masa ini, kita masih dalam tahap perancangan dan persiapan strategi keluar – yang seharusnya merangkumi dimensi ekonomi dan kesihatan awam.

“Dalam erti kata lain, keperluan strategi keluar harus diseimbangkan dengan langkah berhati-hati dan kewaspadaan oleh pihak kesihatan awam. Ini terutama sekali apabila risiko gelombang jangkitan baru (yang kini masih dalam angka dua digit) senantiasa ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Jason turut mencadangkan supaya infrastruktur digital harus melengkapkan dan menambahbaik Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan).

Selain itu, kerenah birokrasi terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu dikurangkan kerana ramai usahawan sedang mengalami masalah aliran tunai dan sulit mendapatkan pembiayaan.

Kerajaan juga perlu memberikan potongan cukai untuk PKS dalam semua kategori. – MalaysiaGazette