SYDNEY – Qantas Airways Ltd. akan memulakan semula penerbangan domestik dengan kapasiti antara 40 hingga 50 peratus pada Julai sekiranya kawalan sempadan negeri-negeri dilonggarkan.
Syarikat itu juga menjangkakan harga tambang yang lebih rendah dan anjal dapat ditawarkan tanpa mengamalkan penjarakan sosial bagi merangsang pertumbuhan sektor berkenaan, kata Ketua Eksekutifnya hari ini.
Qantas akan memperkenalkan langkah-langkah seperti menyediakan pelitup muka dan tisu pembersih bagi memastikan keselamatan pelanggan semasa pandemik bermula 12 Jun ini.
Bagaimanapun, ia akan memastikan kerusi tengah tidak akan dibiarkan kosong.
“Penjarakan sosial dalam pesawat adalah tidak praktikal.
“Ia hanya memberikan anda jarak sejauh 60 sentimeter dalam kalangan penumpang,” katanya sambil merujuk kepada standard penjarakan sosial di Australia adalah 1.5 meter.
Dengan itu, anak syarikat tambang murahnya, Jetstar yang menggunakan pesawat Airbus SE A320 hanya mampu mengisi 22 tempat duduk berbanding 180 sekiranya penjarakan sosial dilaksanakan.
“Ini bermakna harga tambang akan melonjak lapan ke sembilan kali ganda berbanding sekarang.
“Dari segi ekonomi, ianya tidak bagus,” katanya.
Dengan itu, Qantas akan meringkaskan perkhidmatan katering, meningkatkan pembersihan pesawat serta meminta penumpang mengehadkan pergerakan sekitar kabin apabila duduk.
Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan tetapi penumpang digalakkan untuk memakainya bagi keselesaan penumpang-penumpang lain, kata Pengarah Perubatan kumpulan, Ian Hosegood. – Agensi