KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi menceriakan sambutan Syawal kali ini dengan sedikit kelainan, iaitu menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia yang duduk di rumah bagi membantu usaha membendung penularan wabak Covid 19.
Melalui filem pendek ‘Semangat Raya Epik Fantastik’, TNB menampilkan hakikat pengorbanan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkait dengan nilai-nilai positif yang sering diperkatakan dengan sambutan Aidilfitri, selain membuka pintu kepada kemahiran baharu.
“Dengan mematuhi arahan untuk duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), “hero-hero kita’ ini lebih menghargai perkara-perkara kecil dan kebebasan yang kita ada selama ini,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.
Menurutnya, suasana terperap di kediaman masing-masing juga membolehkan kita melakukan perkara-perkara yang kita ambil mudah selama ini.
Keadaan ini telah menjadikan kita kreatif, mencuba perkara-perkara yang tidak pernah kita lakukan, katanya.
“Rupanya ramai dalam kalangan kita yang mempunyai bakat terpendam. Masa yang ada telah membolehkan kita mendalami ilmu dan kemahiran yang kita tidak terfikir selama ini.”
“Bagi yang berkeluarga, PKP telah memberi ruang dan peluang untuk mengeratkan semangat kekeluargaan. Pada waktu yang sama, ia menguji dan mempertingkatkan sifat kesabaran.
“Sambutan Aidilfitri kali ini bakal berbeza dari yang biasa. Kita akan menghargai mereka yang ‘tidak’ dapat bersama menyambut lebaran bukan kerana mereka telah tiada tetapi disebabkan kekangan PKP, Syawal kali ini tidak dapat diraikan bersama seperti biasa.
“Satu lagi keunikan iklan raya kami kali ini ialah sesi penggambaran seperti kebiasaan tidak dapat dilakukan. Jadi, setiap penggambaran setiap babak perlu diambil sendiri oleh setiap watak seperti yang diperlukan pengarah,” kata Roslan.
Mesej Aidilfitri TNB ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi TNB,TENAGAoffcial, bermula 18 Mei 2020.
Tajuk ‘Semangat Raya Epik Fantastik’ adalah kesinambungan filem-filem pendek TNB pada setiap perayaan Aidilfiri sejak beberapa tahun lalu.
Selain menikmati filem ini, penonton juga boleh menggunakan pelbagai GIF menarik di Instagram dan juga ucapan Hari Raya yang menarik untuk dikongsikan kepada insan tersayang melalui Whatsapp. – MalaysiaGazette