Home Nasional Isi rumah B40, OKU daftar segera untuk dekoder percuma myFreeview

Isi rumah B40, OKU daftar segera untuk dekoder percuma myFreeview

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih belum menerima set dekoder myFreeview percuma digesa membuat permohonan melalui saluran yang disediakan mulai sekarang hingga selewat-lewatnya 31 Mei ini.

Mereka yang berminat menerima dekoder percuma myFreeview perlu mengisi borang di laman sesawang dengan butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh serta nombor telefon atau menghubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088/1-300-80-6988.

Langkah ini bagi memudahkan proses pengagihan set dekoder percuma myFreeview kepada mereka yang layak, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan di sini.

Menurut SKMM, semakan kelayakan juga boleh dibuat melalui dua saluran yang dinyatakan di atas. Sebarang pendaftaran selepas tarikh akhir iaitu 31 Mei 2020 tidak akan diproses.

“Inisiatif pemberian dekoder tambahan myFreeview secara percuma ini adalah untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mengakses informasi dan hiburan secara mudah, percuma dan berkualiti melalui penyiaran TV digital.

“Oleh itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperuntukkan sebanyak 300,000 unit dekoder tambahan kepada isi rumah B40 dan OKU di seluruh negara,” katanya.

Tawaran terbaharu ini merupakan tambahan kepada dua juta unit dekoder percuma yang telah diperuntukkan oleh syarikat MYTV sebelum ini. Kos perolehan tambahan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Selepas tarikh tutup 31 Mei 2020, kelayakan permohonan isi rumah B40 dan OKU akan disemak dan penghantaran dekoder melalui perkhidmatan kurier akan dilaksanakan ke seluruh negara secara berperingkat mulai bulan Jun.

Katanya, kaedah penyerahan secara berkelompok hanya akan dipertimbangkan selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan.

MyFreeview ialah jenama platform TV digital, tanpa bayaran bulanan, yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan 6 saluran radio.

Selain mendapat maklumat dan menikmati hiburan, saluran myFreeview juga memberi peluang kepada penonton dan peniaga untuk melakukan peluang perniagaan melalui saluran membeli- belah dari rumah. – MalaysiaGazette