PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan bagaimana negeri Kedah mendapat satu kes jangkitan positif Covid-19 apabila negeri itu sudah dikategorikan sebagai zon hijau, sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif Covid-19 baharu itu dikesan menjangkiti seorang pelajar yang ingin pulang ke negeri beliau.
“Kita buat saringan kepada 271 pelajar dan satu kes dikesan positif. Bila dikesan positif, kita asingkan dan siasat kes kontrak rapat.
“Ini adalah kes disebabkan oleh saringan dan dari mana pelajar itu dijangkiti Covid-19 kita masih siasat.
“Ini kerana Kedah adalah zon hijau jadi saya fikir disebabkan oleh hubungan rapat dengan rakan-rakan dia, itu kita tidak pasti. Tapi biar kami siasat sebelum membuat apa-apa makluman,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.
Jelas Noor Hisham lagi, setakat hari ini KKM berjaya mengesan sembilan kontrak rapat pelajar berkenaan.
Ini adalah kes kedua direkodkan di zon hijau apabila Kelantan yang dikategorikan zon hijau selama 33 hari mendapat kes positif Covid-19, hari ini.
Ia setelah wanita yang mengandung 35 minggu bertindak pulang ke kampung halamannya di Kelantan dengan tujuan untuk melahirkan anak.
Sebanyak 31 kes positif Covid-19 baharu direkodkan hari ini dengan 15 daripadanya di Selangor, sepuluh di Kuala Lumpur dan dua di Labuan.
Selain satu kes di Kelantan dan Kedah, Terengganu dan Sabah juga merekodkan satu kes positif Covid-19, hari ini. – MalaysiaGazette