Dalam taklimat media secara maya bertajuk ‘Memasuki Normal Baharu’ hari ini, Ketua Penyelidikan, Kenny Yee menasihatkan pelabur untuk berhati-hati berikutan impak daripada pandemik ini dan magnitudnya kepada ekonomi tempatan masih belum diketahui.
Mengulas mengenai saham perbankan, yang membawa paling banyak wajaran di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), katanya: “Bank masih tidak jelas berikutan tiada siapa tahu impak sebenar daripada kadar faedah rendah dan moratorium selama enam bulan.
Yee berkata, prestasi pendapatan bank pada suku pertama tahun ini tidak akan terlalu keterlaluan dan beliau menjangka impak sebenar daripada Cpvid-19 hanya akan dapat dilihat dalam prestasi pendapatan sektor pada dua suku tahun akan datang.
Mengenai prospek, beliau menjangka FBM KLCI akan mengakhiri tahun ini pada 1,400 manakala ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar US, berada antara 4.20-4.25 setiap dolar US dengan peningkatan dihadkan oleh harga minyak mentah yang rendah.
Pada tengah hari ini, FBM KLCI naik 1.42 mata atau 0.10 peratus kepada 1,425.39 daripada 1,423.97 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks utama dibuka tinggi 5.29 mata kepada 1,429.26 dan berada antara 1,420.18 dan 1,430.19 sepanjang sesi awal.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 435 berbanding 377, manakala 378 kaunter tidak berubah, 701 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 3.81 bilion bernilai RM1.90 bilion. – MalaysiaGazette