Home Nasional Pengangkutan awam selamat digunakan, kata Prasarana

Pengangkutan awam selamat digunakan, kata Prasarana

Pergerakan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Menara UOA, Bangsar, Kuala Lumpur. foto

KUALA LUMPUR  – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menghadkan kemasukan orang ramai di semua pintu stesen-stesennya bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Nizam Alias berkata, ia adalah pembaharuan yang dilaksanakan oleh syarikat pengangkutan itu selain mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

” Apabila orang ramai nak masuk stesen kita tidak mahu bersesak-sesak. Walaupun kita tetapkan penjarakan sosial satu meter dan orang ikut tapi kalau kita tidak kawal di pintu masuk stesen, orang akan masuk dan keadaan tidak akan terkawal.

“Jadi kita hadkan di pintu masuk stesen sebagai contoh 20 orang dulu masuk,” katanya kepada pemberita selepas mengiring Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat tinjauan pematuhan pengguna pengangkutan awam di ibu kota hari ini.

Selain itu, tambah Muhammad Nizam, Prasarana juga  mengamalkan tahap pembersihan yang optimum kepada semua kenderaan pengangkutan awamnya menerusi proses nyah kuman yang dijalankan dengan kerap.

Langkah ini, ujarnya, bagi mendapatkan keyakinan orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam yang mematuhi amalan pencegahan Covid-19.

“Kami harap lebih ramai kembali gunakan pengangkutan awam, sudah tentu bila menjelang Hari Raya seperti dijangka ramai akan cuti kami sasar selepas itu jumlah yang menaiki (pengangkutan awam) akan naik lagi,” tambah Muhammad Nizam.

Sejak dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan dengan memberi kelonggaran kepada sebahagian besar aktiviti ekonomi kembali beroperasi, Prasarana mendapati berlaku peningkatan drastik pengguna pengangkutan awam.

“Pada fasa 1 PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami mendapati penurunan penggunaan hampir 90 peratus.

“Sejak PKPB kami lihat perkembangan yang baik, apa yang penting kami mahu memberitahu masyarakat bahawa pengangkutan awam masih selamat untuk digunakan sebab kami menjalankan proses nyah kuman, kami pastikan penjarakan social orang ramai,

“Pembersihan yang kerap, jadi selamat untuk naik pengangkutan awam,” katanya. – MalaysiaGazette