PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu maklumat terperinci mengenai kajian sejenis ubat daripada pakar China.
Bagaimanapun, KKM telah dimaklumkan mengenai perkembangan saintis di Universiti Peking itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah.
“Kita (KKM) telah dimaklumkan tetapi ia di peringkat awal. Banyak kajian dijalankan untuk vaksin dan ubat-ubatan.
“Apa yang pasti ialah mereka perlu menjalani penyelidikan atau untuk memastikan ubat itu berkesan. Kita masih menunggu lebih banyak maklumat daripada kajian tersebut,” katanya dalam sidang media di kementerian itu, hari ini.
Media semalam melaporkan bahawa sebuah makmal di China sedang membangunkan ubat yang dipercayai mampu memulihkan pesakit Covid-19 tanpa menggunakan vaksin.
Ubat berkenaan diuji oleh saintis di Universiti Peking, China bukan hanya memendekkan tempoh masa penyembuhan, malah ‘menawarkan’ imuniti jangka pendek daripada dijangkiti virus itu, demikian menurut penyelidik.
Ia sebelum ini berjaya di peringkat ujian ke atas haiwan. – MalaysiaGazette