Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Dalam beberapa hari lagi, semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Syawal. Kebiasaannya di negara kita menjelang perayaan Aidilfitri, bukan sahaja umat Islam malah seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama akan berkongsi keterujaan. Teruja untuk pulang ke kampung, teruja untuk menziarahi ahli keluarga dan sahabat handai, teruja untuk menghadiri rumah terbuka serta teruja untuk melakukan pelbagai lagi aktiviti di bulan Syawal.
Bagaimanapun, ekoran penularan wabak Covid-19, sambutan Syawal tahun ini berbeza. Kita tidak dibenarkan merentas negeri bagi pulang ke kampung halaman masing-masing. Kita tidak digalakkan mengunjungi rumah ahli keluarga dan sahabat handai. Kita tidak disarankan pergi ke pasaraya bagi membeli kelengkapan Aidilfitri. Malah, hanya sebahagian kecil dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid dan surau.
Saya faham, situasi ini menimbulkan perasaan bercampur baur. Sedih, kerana sambutan Aidilfitri tahun ini disambut secara ala kadar sahaja. Kecewa, kerana terpaksa menyambut ketibaan syawal jauh dari insan tersayang. Pada masa yang sama, bimbang, sambutan Aidilfitri menyebabkan bilangan kes Covid-19 di negara kita kembali meningkat secara mendadak.
Percayalah, saya juga mengalami perasaan yang sama. Namun, seperti saya nyatakan dalam penulisan saya sebelum ini, saya percaya bahawa kita semua merupakan rakyat Malaysia yang cekal dan tabah. Sebahagian besar kita telah buktikannya selama hampir dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana kita berupaya patuhi setiap ketetapan Kerajaan secara berhemah.
Sebab itu, saya berharap agar kita semua terus bersabar dan kuat semangat untuk patuhi arahan Kerajaan sempena ketibaan Syawal kali ini. Ingatlah, pengorbanan kita ini penting serta berupaya menjamin keselamatan dan kesejahteraan diri kita sendiri, anak, cucu dan cicit kita.
Buat masa ini, pilihan yang kita ada adalah meraikan Syawal dengan cara yang selari dengan normal baharu. Walaupun ia mungkin tidak semeriah rutin sambutan seperti tahun-tahun sebelum ini, namun setidak-tidaknya kita masih berpeluang berkongsi kegembiraan di pagi raya nanti dengan insan tersayang, cuma kaedahnya sahaja sedikit berbeza.
Jika sebelum ini kita beramai-ramai ke masjid dan surau, kali ini kita boleh menunaikan solat sunat Aidilfitiri secara berjemaah di rumah masing-masing. Jika sebelum ini kita bersalaman dan bermaafan secara bersua muka, kali ini kita masih boleh melakukannya melalui perbualan telefon. Justeru, pagi raya nanti, jalan lupa call ibu bapa di kampung. Lagi meriah, kalau bersembang, bersua muka dan bertentang mata melalui video call. InsyaAllah, semua amalan normal baharu ini akan tetap mengeratkan silaturrahim sesama kita.
Saudara Saudari, sesungguhnya niat saya cumalah mahu kita semua sentiasa berfikiran positif dan meyakini hikmah di sebalik setiap ujian. Hanya dengan cara inilah, keinginan kita untuk memaknai ketibaan Syawal kali ini tetap berkobar-kobar. Dan yang lebih penting, hanya dengan cara inilah, usaha kita untuk menghentikan penularan Covid-19 menemui kejayaan. Ya, ia bukan mudah namun selagi kita bersatuhati, bersatupadu dan bekerjasama termasuk sepanjang tempoh PKPB di bulan Syawal yang bakal menjelma ini, saya percaya yang kita mampu melakukannya.
Perkara ini telah terbukti di Kementerian saya sendiri, Wisma Putra. Berkat kesungguhan, tekad, semangat berpasukan dan kesabaran yang tinggi yang ada pada diri setiap warga Kementerian ini khususnya pasukan petugas barisan hadapan Covid-19 Wisma Putra, segala usaha dan perancangan Kementerian ini terutama dalam memudahcara urusan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara semasa krisis Covid-19 ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Demi negara, sebahagian mereka juga bukan sahaja tetap perlu bertugas pada 1 Syawal nanti. Malah, sebahagian besar warga Wisma Putra yang bertugas di Perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia tidak dapat pulang ke tanah air bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Itu hanya cerita di Kementerian saya. Saya yakin, semua penjawat awam sama ada di Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan dan semua Kementerian turut mencurahkan khidmat bakti terbaik demi memastikan tanah air kita yang tercinta ini segera bebas daripada wabak ini.
Saudara saudari, sambutan Aidilfitri tahun ini memang tidak akan semeriah tahun-tahun sebelum ini. Apa yang boleh kita lakukannya sekarang, ialah menerimanya dengan redha. Pada masa yang sama, kita terus berdoa, semoga krisis Covid-19 ini segera berakhir sekaligus membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Akhir kata, saya dan keluarga menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf andainya terdapat salah dan silap yang telah kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
— HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, 21 MEI 2020