KUALA LUMPUR – Giliran para penghuni flat Perumahan Sri Selangor menjalanji ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan para petugas Kementerian Kesihatan hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan kira-kira 120 orang dari setiap blok menjalani saringan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran proses yang melibatkan kesemua enam blok di kawasan penempatan itu.
Para petugas kesihatan bersiap sedia sejak jam 9.30 pagi lengkap memakai pakaian pelindungan diri sebelum memulakan ujian saringan penduduk yang telah mula berkumpul di Dataran Sri Selangor, lokasi ujian saringan sejak 9:15 pagi.
KKM juga menghadkan jumlah penduduk yang berbaris menunggu ujian Covid-19 bagi mengelakkan jumlah yang terlalu ramai di kawasan saringan.
Bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan, para petugas KKM bertindak mengetuk pintu-pintu rumah memanggil para penghuni turun ke dataran melaporkan diri.
Ujian saringan rawak ini dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan kepadatan penduduk di situ dan kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas iaitu golongan berisiko dijangkiti Covid-19. – MalaysiaGazette