LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) dikejutkan dengan berita terbaharu apabila pemain pertahanan Watford, Adrian Mariappa disahkan positif Covid-19.
DailyMail melaporkan, Mariappa dimaklumkan keputusan itu kelmarin dan dia masih bingung bagaimana boleh dijangkiti.
“Saya kini terkejut kerana sebelum ini hanya melakukan senaman di rumah mengekalkan kecergasan dan tidak keluar rumah.
“Kehidupan saya sangat terhad kerana sudah pasti tidak keluar ke parti atau ke mana-mana. Saya memang tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti.
“Seperti orang lain, kami juga menggunakan perkhidmatan penghantar makanan dan barang, jadi ia mungkin salah satunya dan pasangan saya ada beberapa kali pergi ke pasar raya,” jelasnya.
The Hornets sebelum ini mendedahkan laporan terdapat dua staf operasi kelab dan seorang pemain dikaitkan dengan Covid-19.
Mariappa diberitahu dia kini dikuarantin selama seminggu sebelum menjalankan sekali lagi ujian dan potensi kembali turun berlatih.
“Saya tidak mengalami gejala dan sentiasa rasa cergas, malah lebih daripada biasa kerana saya berlatih bersungguh-sungguh.
“Saya telah menjalani latihan mengikut program dan tidak pernah rasa sesak nafas atau sakit dan sebagainya.
“Ia sangat menakutkan apabila anda dijangkiti ini ketika berasa sangat sihat dan berada di rumah,” tambahnya. – MalaysiaGazette