KUALA LUMPUR – Keberanian anggota polis trafik yang cuba memberkas dua suspek lelaki kerana melarikan diri semalam perlu diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan.
Ini kerana, melalui pengiktirafan tersebut ia mampu dijadikan galakan dan semangat kepada anggota lain untuk berkorban bukan hanya ketika negara bertindak memerangi Covid-19 tetapi juga di masa-masa akan datang,” kata Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.
Beliau berkata, keberanian dan kejujuran anggota berkenaan dalam memikul amanah dan tanggungjawabnya sebagai anggota polis amat dikagumi.
“Sebagai pelindung masyarakat daripada kejahatan dan penguatkuasa yang menjalankan tugasnya tanpa mengira bahaya demi menjaga ketenteraman, semua anggota polis yang terbabit harus diberi pengiktirafan.
“Tidak mengira waktu mereka mendepani pelbagai kes-kes bahaya dengan cuba sedaya-upaya membanteras pengedaran dadah secara berleluasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Murugiah berkata, masyarakat perlu bersyukur kerana ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini banyak kes pengedaran dadah dapat dibanteras oleh pihak berkuasa melalui sekatan trafik.
Semalam, tular rakaman menunjukkan aksi kejar mengejar melibatkan seorang polis trafik dengan dua suspek dalam kejadian yang dilapor berlaku di Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas.
Berdsasrkan maklumat, dua suspek yang menaiki kereta Nissan Teana hitam 200 XE telah bertindak melanggar lampu isyarat di tempat kejadian.
Anggota polis trafik Koperal Saifulazuwan Mohamad dari Balai Polis Jalan H.S.Lee yang sedang bertugas di lokasi dan mengawal trafik cuba menahan kenderaan yang dinaiki dua suspek tersebut sebelum kenderaan suspek memecut laju ke Jalan Gombak.
Anggota polis trafik berkenaan terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bahagian kanan depan kereta berkenaan dengan niat ingin mempertahankan diri kerana terasa diri diancam suspek.
Pemeriksaan di dalam kereta yang ditinggalkan suspek telah menemui sepaket plastik lutsinar di percayai dadah jenis syabu. – MalaysiaGazette