KUALA LUMPUR- Susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap cadangan pembukaan rumah ibadat bukan Islam mulai 10 Jun ini ia tertakluk kepada beberapa garis panduan.
Berikut adalah garis panduan yang telah ditetapkan kepada penganut bukan beragama Islam:-
1) Pelaksanaan semua urusniaga perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai 2020 mengikut surat Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020 (No rujukan KC: 163/15/2 KLT.3(20)).
2) Pengurusan kematian di rumah pula, kehadiran ahli keluarga terdekat hendaklah tidak melebihi 20 orang, tertakluk kepada saiz keluasan rumah dan tiada upacara untuk memberi penghormatan
3) Berikut adalah prosedur operasi standard (SOP) yang menggariskan tatacara persediaan rumah-rumah ibadat sebelum memulakan operasi:-
a) Jawatankuasa pengurusan rumah ibadat hendaklah memastikan semua penganut agama faham dan patuh kepada garis panduan yang disediakan;
b) Penganut yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sesak nafas dan selesema tidak dibenarkan hadir. Penganut yang mempunyai masalah seperti kencing manis, kanser dan sebagainya tidak digalakkan hadir;
c) Penanda jarak (1 meter) wajib diletakkan di lantai, tidak mudah tanggal dan mudah dilihat; dan
d) Penganut agama yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan.
Kementerian Perpaduan Negara berkata, mesyuarat pada hari ini juga telah bersetuju sebanyak 174 rumah ibadat dibuka mulai 10 Jun 2020 mengikut ketetapan yang telah digariskan di dalam SOP.
Senarai rumah ibadat yang akan dibuka adalah seperti berikut:
No. | Badan Agama | Jumlah |
1. | Buddha (Fo Guang Shan) | 1 |
2. | Kristian (Evangelical) | 64 |
3. | Kristian (Titular Roman Katolik) | 3 |
4. | Hindu (Hindu Sangam) | 84 |
5. | Sikh (Gurdwara) | 8 |
6. | Tao (Daozhang) | 14 |
JUMLAH RUMAH IBADAT | 174 |
Sumber: Kementerian Perpaduan Negara
Permohonan lain daripada badan-badan agama akan di bawa oleh pihak Kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dari masa ke semasa.- MalaysiaGazette