Pengarah Komunikasi di Pejabat Presidensi Turki, Fahrettin Altun telah menulis sebuah artikel yang disiarkan di akhbar Washington Times di Amerika Syarikat berkenaan dengan rahsia kejayaan Turki menangani isu COVID
Di dalam artikel tersebut, beliau menyebut :
“Kerajaan Turki memberikan khidmat kesihatan universal secara percuma, dan segala usaha dan pelaburan yang dilakukan sebelum ini untuk sistem kesihatan telah membuahkan hasil.
Usaha yang kami lakukan sedang membuahkan hasil jumlah kes-kes baru telah menurun kepada kadar paling perlahan semenjak dari permulaan kes pada awal bulan Mac, dan bilangan kes yang pulih jauh mengatasi bilangan kes-kes baru.
Akan tetapi sesetengah pihak masih lagi mengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan mengatakan bahawa beliau tidak menguruskan krisis ini dengan baik. Mari kita lihat kepada fakta- fakta berikut :
Usaha reformasi dan pelaburan ke atas sistem kesihatan telah menjadikan sistem kesihatan Turki boleh diakses oleh lebih ramai rakyat. Turki telah membuat pelaburan untuk meningkatkan jumlah pekerja sektor kesihatan dan membina lebih banyak hospital, di mana 10 hospital baru telah dirancang untuk dibina, bahkan sebelum musim COVID-19 lagi. Kesannya, sistem kesihatan Turki tidak terbeban dengan lambakan pesakit sepertimana yang dilihat terjadi di sesetengan negara lain.
Kami juga tersenarai dalam 5 negara di dunia yang melakukan ujian saringan terbanyak. Kami sedar bahawa dengan melakukan banyak ujian saringan, jumlah kes positif juga akan menjadi tinggi – kerana terdapat kaitan langsung diantara jumlah ujian saringan dan jumlah kes positif – akan tetapi kami juga sedar tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini kecuali dengan melakukan ujian besar-besaran.
Untuk mengurangkan beban terhadap bisnes dan rakyat jelata, kerajaaan telah menangguhkan bayaran balik hutang dan mengurangkan cukai, dan menawarkan pinjaman kadar faedah tetap selama 36 bulan dengan penangguhan bayaran kepada semua perniagaan. Kerajaan juga memberi bantuan kewangan terus kepada keluarga yang memerlukan. Selepas mengumumkan pakej bantuan sebanyak 100 billion lira($14.7 billion) kepada perniagaan-perniagaan, kami juga merancang untuk memudahkan sovereign wealth funds untuk mengambil alih syarikat-syarikat swasta yang dalam kesusahan. Para pengkritik telah terlepas pandang fakta-fakta ini.
Kerajaan juga memberikan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua rakyat. Ini adalah sesuatu yang sangat penting jika kita mahu melawan virus ini, dan pakar kesihatan juga telah bersetuju bahawa negara-negara yang tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan percuma akan mengalami kesukaran untuk melawan virus ini.
Sebenarnya, Turki adalah satu dari sejumlah kecil negara di rantau ini yang memberikan perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyatnya selepas mengambil masa yang agak lama dalam memperbaharui sistem kesihatan semenjak tahun 2003. Seperti yang dilaporkan oleh The New England Journal of Medicine, kami telah melakukan “satu reformasi sistem kesihatan yang bertujuan untuk menghapuskan ketidaksamarataan di dalam perkhidmatan kesihatan dan memelihara semua rakyat dari risiko kewangan. Ianya telah dapat dicapai dalam masa 10 tahun.”
Kami juga mengambil secara serius langkah penjarakan sosial. Kami telah memberhentikan semua penerbangan antarabangsa, memperketatkan perjalanan dalam negeri, menutup sekolah, bar dan kafe, dan memberhentikan solat berjemaah. Kami juga sudah mula melakukan lockdown pada hujung minggu di bandar-bandar besar untuk mematahkan jangkitan ini.
Turki adalah antara negara yang paling awal dalam memperketatkan dan menghalang sebarang perjalanan dari negara yang dilanda wabak Covid-19. Kami telah memulakan dengan menyaring semua penumpang di lapangan terbang, sebelum melarang terus segala jenis perjalanan kemudiannya.
Kami tidak mendiskriminasi sesiapa pun berdasarkan negara asal ketika melindungi mereka dari wabak ini. Kami telah mengambil balik ramai pelarian Syria yang terkandas di sempadan Turki untuk mengelakkan penularan wabak di antara mereka. Kami juga telah mengambil langkah berjaga-jaga di kem-kem pelarian di Utara Syria.
Walaupun kami berjuang melawan virus Covid-19 dengan sumber yang terhad, kami sedar bahawa perjuangan ini adalah usaha bersama dan tiada negara harus ditinggalkan di belakang. Turki telah menghantar bantuan peralatan perubatan ke banyak negara termasuk Itali, Sepanyol, Iran, Kosovo, Serbia, Montenegro, Macedonia Utara, dan banyak lagi.
Kami telah mengambil langkah khas untuk menjaga rakyat kami yang berumur – yang mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti. Kami telah mengambil langkah untuk mengurangkan pergerakan bagi mereka yang berumur 65 tahun keatas, demi keselamatan mereka sendiri, dan pada masa yang sama memastikan bahawa segala keperluan mereka dipenuhi. Kami tidak melupakan baik yang tua mahupun yang muda.
Kami pergi lebih jauh lagi dengan memastikan bahawa binatang-bintang jalanan kami juga mendapat penjagaan yang sepatutnya. Langkah ini semua adalah dipandu oleh arahan yang jelas dari Presiden Erdogan yang menekankan bahawa segala usaha yang dilakukan dalam menghadapi isu ini haruslah berteraskan semangat kemanusiaan.
Adalah penting untuk melihat bagaimana respon Turki terhadap COVID-19 ini, dan keupayaan Turki untuk menangani masalah ini dengan baik adalah sesuatu yang penting. Turki adalah titik pertemuan antara Eropah dan Asia, dan Istanbul mempunyai salah satu lapangan terbang yang paling besar dan paling sibuk di dunia.
Semua kerajaan haruslah bersedia, bermula sekarang dan tahun-tahun yang mendatang untuk diperiksa secara mendalam bagaimana mereka menangani krisis ini. Adalah penting untuk mula memikirkan di mana silapnya dan bagaimana untuk memastikan perkara ini tidak akan terjadi lagi pada masa depan. – MalaysiaGazette