KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak akan melaksanakan perintah larangan terhadap kenderaan barangan untuk berada di atas jalan raya bagi tempoh beberapa hari semasa perayaan Aidilfitri.
Ini kerana kementerian mengambil kira peraturan-peraturan sedia ada semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk faktor keselamatan dan ekonomi.
“Larangan sebelum ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna yang ingin pulang ke kampung serta untuk memastikan kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dengan meminimumkan keberadaan kenderaan-kenderaan barangan di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan itu, Kementerian Pengangkutan mengingatkan semua pergerakan kenderaan barangan di dalam tempoh PKPB perlu mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan.- MalaysiaGazette