Home Utama Bekas pemandu ambulans KKM terlantar, isteri cekal harungi dugaan

Bekas pemandu ambulans KKM terlantar, isteri cekal harungi dugaan

Bekas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Abdul Rahman Mohamad Isa terlantar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika ditemui pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2020

PETALING JAYA – Melihat sendiri ketabahan wanita ini melayan suami yang terlantar sejak beberapa tahun lalu sememangnya mengundang simpati yang bukan sedikit.

Dia wanita tabah. Jari jemarinya pantas memasang alat penyedut kahak dan tekun menjalankan kerja-kerja memastikan kahak suaminya, Abdul Rahman Mohamad Isa, 60, dapat dikeluarkan dengan cara yang betul.

Tentunya proses itu tidak mudah dan menuntut ketabahan kerana dia terpaksa melihat sendiri ‘seksa’ yang terpaksa ditanggung suami apatah lagi bunyi kahak dikeluarkan itu adakalanya mengganggu perasaan umpama dia turut merasa sakit.

Ditanya apakah punca Abdul Rahman terlantar, Noor Yasmoon Mohd Noor pantas berkongsi cerita.

Segala-galanya bermula apabila suaminya yang berkhidmat sebagai pemandu ambulans Kementerian Kesihatan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu.

Noor Yasmoon Mohd Nor menjalankan kerja-kerja menyedut kahak suaminya yang merupakan bekas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Abdul Rahman Mohamad Isa di kediamannya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2020

Siapa sangka tragedi yang pada mulanya hanya memberi kesan kepada kedua belah kaki suaminya berakhir dengan dia terlantar di atas katil menanggung kesakitan selain berhadapan masalah kesukaran bernafas.

Masa depan Abdul Rahman yang pernah meraih anugerah perkhidmatan cemerlang daripada KKM perlahan-lahan menjadi pudar apabila malang yang menimpanya tidak terhenti setakat di kaki.

Dia mula mengidap penyakit-penyakit lain termasuk di bahagian saraf tunjang yang akhirnya menyebabkan dia terlantar dan lehernya ditebuk bagi membolehkan saluran untuk menyedut kahak dan memudahkan pernafasannya.

Sejak itu Abdul Rahman bergantung sepenuhya kepada Noor Yasmoon yang terpaksa berhenti kerja semata-mata untuk menguruskan suaminya termasuk membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalan pemeriksaan rutin.

Bagi wanita berusia 48 tahun itu, keputusan itu adalah pengorbanan yang dilakukan secara sukarela. Dia menyambung kerja menjaga suami selepas diajar selok belok untuk menggunakan perkakasan klinikal serta cara yang betul menguruskan keperluan Abdul Rahman termasuk mencuci berak selain menyuapkan makanan.

Antara Sijil Perkhidmatan Cemerlang yang diterima bekas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Abdul Rahman Mohamad Isa.

Di sebalik berat tanggungan yang dipikul, Noor Yasmoon bersyukur kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang kesemuanya digunakan untuk menyediakan keperluan suaminya termasuk ubat tahan sakit yang perlu dibeli sendiri.

Sesekali Abdul Rahman dilihat mengigil dan menurut Noor Yasmoon itu adalah petanda bahawa suaminya sedang menahan kesakitan di kedua-dua kakinya yang menurut doktor perlu dibedah sekali lagi

Dikurniakan empat orang anak hasil perkahwinan pertamanya, dan dua lagi bersama Noor Yasmoon, perjalanan hidup Abdul Rahman sekarang tidak mampu ditelah kesudahannya.

Tinggal di tingkat tiga pangsapuri kos rendah adakalanya amat menyukarkan setiap kali dia mahu dibawa ke hospital kerana kudrat Noor Yasmoon semata-semata sememangnya tidak mampu untuk menggerakkan Abdul Rahman dari katil ke kerusi roda seterus menuruni anak tangga.

Namun wanita berjiwa kental ini bersyukur kerana kakaknya tinggal selang beberapa pintu dan sering membantu setiap kali dia memerlukan.

Berbekalkan pencen suami dan bantuan JKM dia sekeluarga terpaksa berjimat cermat supaya boleh menampung perbelanjaan perubatan suaminya dan persekolahan dua cahaya matanya.

Noor Yasmoon Mohd Nor

“Ssuami pesara kerajaan, peralatan ini (sedut kahak) hospital bagi, semua ini (peralatan klinikal) saya beli, ubat kahak semua saya beli sendiri.

“RM350 itu, cukup tak cukup pandai-pandai berjimat, kakak saya ada bantu lauk-pauk. Macam abang pesara kerajaan, dapatlah pencen RM1,300 sebulan, anak-anak sekolah kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, semalam.

Menurut Noor Yasmoon, selepas beberapa bulan kemalangan suaminya masih boleh memandu kereta malah mampu menghantar dan menjemputnya ke tempat kerja di sebuah syarikat pembinaan.

“Lepas kemalangan dulu, abang masih boleh bergerak, masa itu dia pakai besi, boleh bawa kereta, pergi ambil akak kerja.

“Bila kena sakit saraf tunjang, saya kena berhenti sebab tiada orang nak jaga,” katanya yang masih menunggu tarikh temujanji dengan hospital selepas beberapa kali ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Biarpun agak sukar untuk bercakap, namun Abdul Rahman gigih melawan kesakitan bercerita dengan nafas yang tersangkut-sangkut. Butir percakapannya adakala sukar diagak, namun dia kelihatan bersemangat dan sesekali tersenyum melahirkan rasa gembira menerima kunjungan kami.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak berbual bersama bekas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Abdul Rahman Mohamad Isa pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Apartment Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2020

Dia juga mengangkat jari menunjukkan sijil-sijil penghargaan berserta gambar ketika dia berkhidmat dalam perkhidmatan awam yang digantung rapi di dinding rumahnya itu.

Sementara itu, Jelajah Ramadan MalaysiaGazette sempat menyantuni satu lagi keluarga yang mendiami Apartmen Harmoni di Damansara Damai kelmarin.

Bukan hilang upaya, sebaliknya kediaman itu didiami seorang nenek yang menjaga empat orang cucu, dua daripadanya telah kehilangan ibu akibat barah otak. Turut tinggal di rumah tersebut anak perempuannya yang kini terpaksa bekerja harian apabila dipanggil.

Suami kepada anak perempuannya itu juga mengalami masalah kesihatan sehingga tidak dapat keluar mencari rezeki, lantas tugas tersebut digalas oleh isterinya demi memastikan kelangsungan hidup dan persekolahan anak-anak tidak terjejas.

Rogayah Musa, 65, menjaga kedua-duanya cucunya sejak dua tahun lalu, meskipun kesihatannya sendiri tidak mengizinkan, ditambah pula tidak mempunyai pendapatan tetap. Biarpun hidup dihimpit kesusahan, namun bagi wanita yang pernah bekerja di Temerloh Pahang itu, ada hikmah di sebalik dugaan yang Allah kurniakan.

Rogayah Musa tidak dapat menahan sebak pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Apartment Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2020

Dia dapat menunaikan tanggungjawab menjaga cucu-cucunya ketika anak perempuannya keluar bekerja tanpa perlu berasa risau selain dapat menyediakan makan dan minum seadannya untuk mereka.

Dalam nada sebak, Rohaya umpama menyesali diri kerana menumpang wang zakat yang diperoleh anaknya sebanyak RM650 sebulan.

“Sepatutnya mak cik yang membantu mereka, ini tidak mak cik pula yang menumpang mereka,” katanya yang tidak putus-putus mengucapkan terima kasih di atas kunjungan MalaysiaGazette yang turut menyumbang barang keperluan.

2 Komen

  1. Admin minta kongsikn maklumat utk hubungi keluarga ini atau nombor akaun bank supaya bole disampaikan bantuan.

Comments are closed.