Home Ekonomi Co-opBank Pertama peruntuk RM45 juta bagi dividen

Co-opBank Pertama peruntuk RM45 juta bagi dividen

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) Co-opBank Pertama (CBP) bagi tahun kewangan 2019 pada 20 Mei 2020.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM73.95 juta iaitu peningkatan sebanyak 40% dari tahun 2018 yang berjumlah RM52.69 juta.

Jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 6,367 anggota baharu dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2019 adalah sebanyak 91,420.

Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP walaupun
terdapat sedikit peningkatan bagi Pinjaman Tidak Berbayar yang disumbang dari pembiayaan sektor koperasi dan korporat.

Pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2019 yang berjumlah lebih RM45 juta ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.

”Bagi tahun 2019, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM45.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 32% berbanding tahun 2018 yang berjumlah RM30.8 juta.

”Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,420 anggota CBP yang layak,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak.

Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900juta setakat 31 Disember 2019.

Tambahnya, kadar dividen bersih bagi tahun 2019 adalah sebanyak 6.1% bagi syer iRCPS dan 5.5% bagi syer biasa dan ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.

Anggota CBP boleh membuat pengeluaran dividen masing-masing bermula hari ini di semua cawangan CBP di seluruh negara. – MalaysiaGazette