Home Pendapat Kegawatan belum berakhir, Malaysia perlu bersiap-sedia

Kegawatan belum berakhir, Malaysia perlu bersiap-sedia

Seorang anggota ATM membetulkan pelindung muka sewaktu membuat kawalan keluar masuk kawasan Pudu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Oleh: Nur Sofea Hasmira Azahar

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang lebih baik daripada jangkaan pakar ekonomi dengan pertumbuhan marginal 0.7 peratus. Tetapi, dalam pada masa yang sama, ia merupakan penurunan mendadak daripada 3.6 peratus dalam suku keempat tahun lepas dan kadar ini paling perlahan sejak Krisis Kewangan Global.

Berdasarkan perbandingan suku ke suku, ekonomi negara merosot dengan kadar 2 peratus berbanding pertumbuhan 0.6 peratus pada suku sebelumnya. Dibandingkan pula dengan negara ASEAN, ekonomi negara lain juga berada dalam
tren yang perlahan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura turun 2.2 peratus, manakala pertumbuhan KDNK Indonesia jatuh pada kadar 3 peratus, tahap paling lemah sejak 2001.

Ini tidak mengejutkan buat Malaysia kerana pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac atau kini dikenali sebagai PKP Bersyarat (PKPB), telah menjejaskan ekonomi negara, seperti yang dinyatakan oleh
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya. Melihat di dalam sektor industri, beberapa sektor mencatatkan kadar pertumbuhan yang lemah dan merosot berbanding suku yang sebelumnya:
1. Perkhidmatan – Dari 6.2% kepada 3.1%;
2. Pembuatan – Dari 3.0% kepada 1.5%;
3. Perlombongan dan penggalian – Dari -3.4% kepada -2.0%;
4. Pembinaan – Dari 1.0% kepada -7.9%; dan
5. Pertanian – Dari -5.7% kepada -8.7%.

Bagi komponen perbelanjaan, pecahan KDNK adalah seperti berikut:
1. Penggunaan sektor swasta – Dari 8.1% kepada 6.7%;
2. Penggunaan sektor kerajaan – Dari 1.3% kepada 5.0%;
3. Pembentukan modal tetap kasar – Dari -0.7% kepada -4.6%;
4. Eksport – Dari -3.4 % kepada -7.1%; dan
5. Import – Dari -2.4% kepada -2.5%.

Sekatan ke atas pelbagai aktiviti ekonomi negara sejak bermulanya PKP telah menyebabkan kerugian berjumlah RM2.4 bilion dalam masa sehari, menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagi mengelakkan ekonomi daripada terjejas lebih teruk terutamanya perniagaan, kerajaan telah memutuskan untuk melonggarkan sekatan ke atas kebanyakan sektor
ekonomi mulai 4 Mei dengan penetapan Garis Panduan (SOP) yang ketat.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya yang dilanjutkan adalah PKP Diperketatkan (PKPD), jumlah kerugian boleh mencecah RM100 bilion. Namun, ekonomi negara masih belum lagi pulih selagi tiada vaksin dapat dihasilkan dan PKPB akan berkuatkuasa sehingga 9 Jun. Walaupun pengagihan pakej rangsangan berjumlah RM260 bilion kepada para peniaga dan rakyat masih
berterusan, namun ramai yang merasakan kesakitannya.
Pada suku pertama tahun ini, kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus (3.2 peratus pada suku sebelumnya), dengan jumlah pengangguran yang lebih besar seramai 546,600 orang. Mereka yang terkesan dengan pasaran kerja adalah mereka yang berada dalam kumpulan umur 15-30 tahun (6.9 peratus).

Kadar inflasi juga jatuh mendadak kepada 2.9 peratus pada bulan April (-0.2 peratus pada bulan Mac) disebabkan oleh penurunan kos pengangkutan, ditambah pula dengan harga minyak yang rendah termasuk pengurangan perbelanjaan pakaian dan kasut. Untuk keseluruhan suku pertama, inflasi masih lemah pada kadar 0.9 peratus.

Inflasi yang rendah juga selaras dengan kemerosotan indeks sentimen pengguna yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) – 51.1 dalam suku pertama tahun ini (dari 82.3 dalam suku keempat tahun 2019). Ini hanya suku pertama. Suku kedua juga dijangkakan akan menjadi suram
memandangkan sekatan pergerakan masih dilanjutkan. Berdasarkan petanda awal untuk suku kedua tahun ini, gangguan dalam rantaian bekalan telah memberi kesan teruk kepada aktiviti pembuatan dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit, jatuh kepada 31.3 pada bulan April daripada 48.4 pada bulan Mac.

Menurut kebanyakan firma pembuatan, prestasi buruk pada awal suku kedua disebabkan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan domestik dan juga pasaran eksport, yang dilaksanakan untuk menangani penyebaran virus. Sebilangan juga menyatakan pengeluaran berkurang dipengaruhi oleh kekurangan tenaga kerja dan pengambilan kerja baru yang sedikit. Awal bulan ini BNM menurunkan kadar faedah penanda aras sebanyak 50 mata
asas, dari 2.50 peratus kepada 2.00 peratus, sama seperti kadar ketika krisis kewangan global. Secara kumulatif, bank pusat telah melakukan pemotongan 100 mata asas pada tahun ini.

Disebabkan wabak yang membunuh ini dan ketidakpastian mengenai prospek ekonomi, terdapat kemungkinan bahawa
kadar faedah ini mungkin boleh diturunkan lagi. Walaupun usaha untuk memulihkan ekonomi sudah bermula, proses pemulihan
akan berbeza-beza di setiap sektor yang berorientasikan domestik atau luar negara. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, di mana Malaysia bergantung kepada perdagangan untuk menyokong ekonomi negara, pemulihan domestik tidak menjamin kesejahteraan ekonomi luar negara. Ini adalah hasil daripada keadaan global yang pesimis – permintaan luaran yang lemah, harga minyak yang rendah dan gangguan dalam perniagaan disebabkan oleh sekatan dan
penutupan.

Pengangguran dijangka akan melebihi matlamat awal kerajaan di paras 4 peratus disebabkan penutupan perniagaan semasa PKP.
Tingkah laku masyarakat terhadap persekitaran semasa juga boleh menjadi penentu kecepatan proses pemulihan. Bagaimana kita mengamalkan norma baru seperti penjarakan sosial untuk mengelakkan gelombang jangkitan yang baru dan bagaimana perbelanjaan telah berubah semasa waktu penuh dugaan ini juga bakal mempengaruhi ekonomi pada masa hadapan. Seperti yang dinyatakan oleh pihak kerajaan, pemulihan ekonomi hanya akan dapat dilihat mulai separuh masa kedua tahun ini, namun ia bergantung kepada agenda kerajaan yang seterusnya – Pelan Pemulihan Ekonomi.

Penulis adalah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research,
sebuah organisasi pemikir bebas.

1 Komen

Comments are closed.