Home Nasional Melaka rekod cubaan rentas negeri tertinggi

Melaka rekod cubaan rentas negeri tertinggi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sejumlah 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM, semalam.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Melaka mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 886 diikuti Perak (362) dan Pulau Pinang (284).

Katanya, PDRM telah mengenakan 154 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 264,280 kenderaan, semalam.

“Saya tahu ramai yang berlumba-lumba balik semalam, saya serahkan kepada pihak polis.

“Seperti yang saya sering katakan, yang lepas balik ke kampung itu tidak semestinya boleh balik semula ke Kuala Lumpur tanpa sebarang tindakan oleh pihak polis,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sebuah kluster baharu Covid-19 iaitu kluster depot tahanan, Ismail Sabri berkata, penularan berlaku kerana pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot berkenaan tinggal di dalam dormitori dan bukannya bilik berasingan.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil tindakan dengan mengadakan ujian saringan kepada 1,200 tahanan di depot Bukit Jalil termasuk 114 pegawai dan mereka yang berkaitan seperti pembekal makanan.

Individu yang disahkan positif Covid-19 telah dihantar untuk diasingkan dan diberi rawatan di hospital sementara di Maeps, Serdang.

“Mereka ini telah disaring dan yang mana positif telah dihantar ke hospital sementara Covid-19 di Maeps. Mereka bukan berkeliaran dan boleh menyebabkan penularan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette