Home Sukan Rindu ibu tapi kesihatan lebih penting

Rindu ibu tapi kesihatan lebih penting

Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abdul Radzak .

KUALA LUMPUR – “Rindu ibu, tapi kesihatan lebih penting.”

Itu yang diluahkan oleh pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak apabila dia bersama keluarga bakal meraikan sambutan Aidilfitri di Johor Bahru buat kali pertama pada tahun ini.

Jelasnya, ini merupakan Syawal yang paling sayu untuknya sekeluarga apabila tidak dapat beraya bersama ibu tersayang di kampung halaman, Seremban kerana lebih memikirkan faktor kesihatan dan keselamatan keluarga ketika ini apabila membabitkan wabak Covid-19 yang masih lagi belum berakhir.

Sudah pasti, tonggak utama JDT ini merasakan sambutan Aidilfitri di Johor Bahru tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya tetapi Aidil tetap bersyukur isteri dan anak-anak masih bersamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Persiapan raya kali ini memang sangat berbeza sebab buat pertama kalinya saya tidak beraya di kampung, jadi mahu atau tidak, kami sekeluarga tetap di Johor Bahru sahaja untuk Hari Raya pada tahun ni.

“Kebiasaannya memang saya akan balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak merbahaya sekarang ini, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

“Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan dekat kampung pun ada ramai orang tua yang lebih berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walaupun sebenarnya rindu sangat nak balik jumpa ibu.

“Tidak mengapa, selepas wabak ini berakhir, kita boleh sambung beraya bila-bila masa sahaja untuk kembali bersama keluarga, cuma sekarang ini biarlah kita berkorban terlebih dahulu kerana nyawa lebih utama,” jelasnya pemain berusia 32 tahun itu.

Memikirkan perjalanan Liga Malaysia, harapan Aidil juga sama seperti pemain-pemain lain yang inginkan saingan kembali bersambung selain mengharapkan pandemik Covid-19 ini segera berakhir.

Berdasarkan format Liga Malaysia yang telah diubah oleh Malaysian Football League (MFL), pemain berusia 33 tahun ini menganggap ini adalah format yang paling sesuai untuk digunakan dalam situasi getir yang sedang melanda seluruh negara apabila hanya tujuh perlawanan sahaja akan diteruskan pada September ini sekiranya mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia.

Apa yang penting adalah perlawanan kompetitif yang amat diperlukan oleh semua pasukan ketika ini lebih-lebih lagi skuad Harimau Malaya yang perlu bersedia untuk pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Untuk saya, kalau kita tengok daripada segi masa, memang inilah format yang paling sesuai untuk liga dan semua tahu kita sudah kesuntukan masa kerana hanya empat sahaja perlawanan sempat dijalankan pada awal musim.

“Tambah-tambah lagi MFL sudah membatalkan Piala FA, dan kita hanya ada Piala Malaysia yang perlu diteruskan selain skuad kebangsaan juga ada misi sendiri, jadi memang ini sahaja pilihan yang kita ada untuk liga kembali bersambung dan ianya lebih baik daripada kita langsung tidak dapat bermain pada musim ini,” katanya.

Terdahulu, MFL merancang untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1 dan 2 September ini dan akan berakhir pada 26 dan 27 September ini.

TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober ini dan akan berakhir pada 7 November ini manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan. – MalaysiaGazette