KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.5 bilion bagi suku pertama tahun ini yang berakhir pada 31 Mac lalu, 68% lebih rendah berbanding RM14.2 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya pada tahun lalu.
Penyusutan ini disebabkan oleh rosot bersih ke atas aset dan pendapatan yang lebih rendah, selain sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Bagi suku pertama tahun ini, Kumpulan Petronas merekodkan pendapatan sebanyak RM59.6 bilion, susut 4% daripada RM62 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Penyusutan ini disebabkan oleh kesan daripada harga realisasi yang lebih rendah yang dicatatkan untuk gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan minyak mentah dan kondensat.
Penurunan ini sebahagiannya juga diimbangi oleh kesan jumlah penjualan yang lebih tinggi terutama untuk produk petroleum ditambah dengan kesan penurunan nilai ringgit terhadap kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).
Keuntungan selepas cukai tidak termasuk penurunan nilai, berjumlah RM9.2 bilion, penurunan 35% daripada RM14.1
bilion berbanding suku pertama tahun lalu.
Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) turun 27% kepada RM20.3 bilion daripada RM27.8 bilion pada suku yang sama tahun lalu, sejajar dengan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi untuk suku pertama tahun 2020 menurun sebanyak 24% berbanding suku pertama 2019 dipacu oleh keuntungan operasi tunai yang lebih rendah dan negatif bersih modal kerja berubah sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih rendah yang dibayar.
Jumlah aset meningkat kepada RM630 bilion pada 31 Mac 2020, berbanding RM622.4 bilion direkodkan pada 31 Disember 2019 disebabkan oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi dan kesan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menjangkakan prospek yang sangat mencabar bagi baki tahun ini memandangkan aktiviti ekonomi dijangka hanya pulih beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.
Beliau berkata, Petronas dan peserta industri akan terkesan jika situasi pasaran semasa berterusan dan harga minyak yang kekal rendah.
Dengan keadaan yang mencabar, fokus syarikat itu adalah melindungi tunai dan mengekalkan kecairannya, meneruskan penjimatan kos dan bertindak balas terhadap perubahan keadaan pasaran dengan pantas, katanya. – MalaysiaGazette