KUALA LUMPUR– Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat jangan gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan Aidilfitri seperti kelaziman, sebaliknya mengambil peluang itu untuk mempelajari hikmah daripada wabak COVID-19.
Walaupun kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, Seri Paduka bertitah rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi pada 1 Syawal.
“Alhamdulillah, beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan limpah rahmatNya kita semua dapat menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen, malam ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama hampir dua bulan telah mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan yang tinggi di samping penuh sabar sepanjang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Sebenarnya banyak pengajaran dapat kita pelajari dalam menghadapi wabak ini. Kita pelajari bahawa sesuatu virus atau sakit boleh menyerang manusia tanpa mengira pangkat mahupun darjat. Kita juga insaf bahawa kesihatan dikurniakan Allah adalah suatu kurniaan tidak ternilai harganya,” titah Seri Paduka.
Menurut Yang di-Pertuan Agong, wabak itu turut mengajar bahawa setiap manusia mempunyai ikatan pertalian hubungan yang rapat antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Jika salah seorang daripada rakyat tidak menjaga kesihatan diri, maka kesannya akan menular kepada masyarakat setempat dan akhirnya ke seluruh negara,” titah baginda.
Seri Paduka juga tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
“Beta juga amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutama petugas perkhidmatan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, teruskan mengamal normal baharu ataupun ‘the new normal’ dalam kehidupan seharian. Pandemik COVID-19 ini telah memaksa kita untuk melakukan perubahan kepada kehidupan seharian kita.
“Justeru teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial. Hindari dan jauhi aktiviti yang tidak penting. Gunakan masa yang ada untuk membina syurga di rumah bersama keluarga tercinta,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menumpaskan wabak COVID-19 ini selama-lamanya dengan semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa semoga negara akan segera kembali pulih seperti sediakala agar rakyat dapat mengecap nikmat kerancakan ekonomi dan menikmati kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju, aman dan makmur,” titah Seri Paduka. – BERNAMA