KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak negara menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi untuk menjalin silaturahim di Hari Raya.
Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin dalam hantaran di laman sosial rasmi Facebook FAM berkata meskipun sambutan perayaan tahun ini hanya mampu disambut dengan syarat terhad tanpa berjabat tangan, hari kemenangan buat umat Islam itu tetap perlu disambut dengan penuh kenikmatan serta kesyukuran.
“Pada ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 dan dengan kebiasaan baharu yang perlu kita terapkan pada lebaran kali ini, nampaknya ucapan sempena perayaan khususnya sambutan Aidilfitri akan menjadi tradisi yang jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
“Jika tahun lalu kita berhari raya dengan tema Raya Bola di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama Harimau Malaya kerana skuad negara mengharungi perlawanan pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022 (Zon Asia) bertemu Timor-Leste, tahun ini sambutan kita jauh berbeza dengan hanya duduk di rumah,” katanya.
Hamidin juga berharap agar pandemik COVID-19 segera berakhir dan aktiviti bola sepak negara dapat diteruskan seperti sediakala.- BERNAMA