KULAI – Kedatangan Aidilfitri setiap tahun pastinya merupakan detik paling ditunggu-tunggu bagi umat Islam, malah ada yang mengambil cuti panjang untuk beraya bersama keluarga.
Namun berlainan bagi Shukor Mohd Yasin, 38, yang tidak gemar mengambil cuti panjang bagi menyambut hari raya.
Shukor yang bekerja sebagai pemandu lori kompaktor Unit Sisa Pepejal di syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd sejak enam tahun lepas mengakui tidak gemar mengambil cuti lama kerana tidak sanggup melihat longgokan dan timbunan sampah yang banyak di kawasan perumahan sepanjang tempoh perayaan itu.
“Bila bekerja dalam bidang ini memang tidak ambil cuti panjang kerana takut sampah bertimbun, apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang yang membuatkan jumlah sampah berganda,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Shukor berkata justeru itu, dia kebiasaannya akan mengambil cuti Aidilfitri pada hari raya pertama sahaja dan kemudian bekerja seperti biasa pada hari seterusnya.
“Menjelang hari raya, kita juga akan ambil masa sehari awal untuk ‘cover’ kutipan sampah. Kalau tidak, sampah akan bertambah banyak,” katanya.
Shukor memberitahu tugasnya tahun ini juga agak mencabar kerana ‘dibayangi’ pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, bapa kepada dua cahaya mata itu menjelaskan dia sentiasa mengutamakan kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika melakukan tugas bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan.
“Rasa takut itu memang ada sebab kita bekerja, berjumpa dengan ramai orang dan terdedah dengan orang sekeliling.
“Tetapi bila patuh pada SOP, kita akan berasa lebih selamat malah setiap kali bertugas, penutup hidung dan mulut, sarung tangan, cecair pembasmi kuman dan periksa suhu badan sentiasa ada dan menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Pentadbir SWM Environment Cawangan Kulai, Amirul Ashaf Ab Rahman berkata semenjak PKP, jumlah sampah yang dikutip meningkat susulan rata-rata penduduk berada di rumah.
“Sebelum ini, memang kita menggalakkan pekerja berkomunikasi dengan penduduk namun sejak PKP, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehad komunikasi pekerja dengan penduduk dan mengingatkan mereka untuk menjaga jarak bagi mengelakkan diri dijangkiti.
“Malah lori sampah juga sentiasa disanitasi, pekerja diperiksa suhu badan dan sebagainya kerana mereka merupakan keutamaan kami,” katanya.
— BERNAMA