Home Dunia Hari pertama perbicaraan kes rasuah Benjamin Netanyahu

Hari pertama perbicaraan kes rasuah Benjamin Netanyahu

BAITULMAQDIS – Sejarah tercipta di Israel apabila Perdana Menteri yang masih lagi memegang tampuk kuasa, Benjamin Netanyahu hari ini dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah.

Netanyahu merupakan Perdana Menteri pertama yang dihadapkan ke mahkamah ketika ini walaupun berkali-kali pemimpin tersebut menafikan sebarang penglibatan dalam tuduhan rasuah itu.

Agensi melaporkan, perbicaraan yang bermula hari ini selepas beberapa siri rasuah membabitkan penglibatannya di failkan pada Januari lepas.

Beberapa kes yang menjadi sebutan termasuk isu pemberian insentif kepada akhbar terpenting Israel, Yediot Aharonot yang banyak memberikan penulisan serta publisiti postifi kepada pemimpin berusia 70 tahun itu.

Ada juga dakwaan Netanyahu telah menawarkan pemilik media, Shaul Elovitch, untuk melakukan perubahan peraturan bernilai jutaan dolar yang menguntungkan syarikat telco miliknya, Bezeq sebagai balasan bagi liputan positif dalam laman sesawang media Walla.

Selain itu, Netanyahu juga didakwa menerima habuan seperti cerut, minuman keras dan barangan kemas bernilai 700,000 shekels (RM856,510) sebagai sogokan daripada golongan kaya untuk melakukan kompromi tentang beberapa isu bawah kuasanya.

Selepas proses soal siasat berbulan lamanya oleh pihak polis, Pendakwa Raya, Avichai Mandelblit, memfailkan tuduhan Januari lalu.

Bagaimanapun, sangkaan segelintir pihak termasuk pembangkang karier politiknya akan berakhir namun sekali lagi parti Likud berjaya memeterai perjanjian perkongsian kuasa dengan seteru politik utamanya, Benny Gantz.

Berdasarkan persefahaman yang dicapai selepas tiga pilihan raya gagal menentukan pemenang, Netanyahu akan terus mentadbir Israel untuk tempoh 18 bulan sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada Gantz.

Sebelum ini, Netayahu pernah diasak untuk meninggalkan dunia politik sehingga kesemua kes membabitkan dirinya selesai namun beliau enggan sebaliknya terus menjawat jawatan Perdana Menteri. –MalaysiaGazette