KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Mohamed Haniff Khatri hari ini mempersoalkan pelantikan Dr Ir Shaik Hussein Mydin ke dalam lembaga agensi berkenaan.
Beliau berkata, Shaik Hussein yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Pulau Pinang pernah berhadapan dua tuntutan sivil oleh lembaga Perda sendiri ketika era Barisan Nasional (BN).
Antaranya melibatkan dua lot tanah yang dikatakan dijual di bawah nilai pasaran.
“Dengan hati yang berat di pagi Aidilfitri saya terpanggil untuk menulis berkaitan satu isu penting yang dilaporkan oleh media semalam.
“Sememangnya ia adalah tanggungjawab dan kuasa serta budi bicara menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terkini iaitu Dr Abdul Latiff Ahmad untuk membuat lantikan ahli lembaga Perda yang berkaitan.
“Namun, persoalan yang penting yang perlu dibincangkan di sini adalah bukankah integriti dan tadbir urus agensi Perda akan dipersoalkan rakyat sebagai bakal terjejas dengan pelantikan semula seorang bekas timbalan pengerusi dan ahli lembaga Perda terdahulu.
“Lagi yang masih menghadapi tindakan dan tuntutan sisvil yang diambil terhadapnya oleh Perda sendiri, di atas kausa tindakan antara lain, misfeans dalam jawatan dan/atau kemungkiran tanggungjawab fidusiari?” soalnya.
Beliau berkata, sebagai bekas pengerusi Perda adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk untuk mengutarakan kemusykilan berhubung pelantikan semula Dr Shaik Hussein Mydin sebagai Ahli Lembaga Perda kerana ia mencetuskan pelbagai persoalan.
Mengikut laporan, Shaik Hussein dilantik sebagai Timbalan Ketua Perda dari tahun 2013 hingga 2019 baru-baru ini dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah Perda.
Manakala bekas Pengerusi Perda dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya yang juga berdepan tindakan undang-undang bersama Shaik Hussin pula telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Haniff Khatri menyoal bagaimanakah Shaik Hussein dapat menjalankan tugasnya ketika kedua-dua kes itu masih belum selesai di mahkamah.
“Apakah pula masa hadapan kedua-dua tindakan mahkamah yang diambil oleh Perda terhadap mereka yang disaman itu dan adakah kedua-dua tindakan mahkamah itu akan dikompromi berlawanan dengan kepentingan Perda dan penduduk luar bandar dan miskin negeri Pulau Pinang?
“Bagaimana pula dengan moral dan tanggungjawab serta hak pihak pengurusan dan pegawai serta kakitangan Perda yang telah bertungkus lumus membantu ahli lembaga terdahulu dalam menyediakan bahan-bahan serta keterangan-keterangan.
“Adakah pula kedudukan dan keselamatan pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan Perda berkenaan juga akan dikompromi dan terjejas?,” katanya.
Haniff Khatri juga mendesak Abdul Latiff untuk mempertimbangkan semula pelantikan Shaik Hussein.
“Disebabkan fakta berkaitan kewujudan kedua-dua tindakan yang masih hidup itu, saya dengan penuh hormat memberi saranan ikhlas kepada Dr Abdul Latiff untuk mempertimbangkan semula pelantikan ini, ini semua demi kepentingan menyeluruh Perda dan rakyat negeri Pulau Pinang,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Sekarang kuasa ana yg pegang… Persetan kan undang2 hahaha….