PUTRAJAYA – Kewujudan kluster baharu pekerja warga asing di tapak pembinaan besar kemungkinan dipengaruhi faktor penempatan yang agak tertutup dan ruang sempit dan sesak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, itu salah satu faktor bagaimana Covid-19 menular dalam kalangan pekerja asing di tapak pembinaan di ibu negara.
“Kita sudah ada Prosedur Operasi Standard untuk tapak pembinaan di negara ini tetapi mereka hanya melihat tapak pembinaan tersebut ataupun kilang-kilang tempat kerja.
“Apa yang penting ialah lihat penempatan mereka, cara duduk, contoh Masjid India ruang sempit yang menyumbat 32 orang pekerja warga asing duduk di dalam satu rumah.
“Jadi ruang sempit satu faktor utama virus Covid-19 berjangkit,” katanya dalam sidang media situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya punca positif kluster baharu di tapak pembinaan dan apakah ia disebabkan oleh majikan yang gagal mematuhi SOP dan sebagainya.
Tambah beliau, KKM juga perlu melihat faktor lain yang mungkin mempengaruhi penularan virus itu di tapak pembinaan.
“Kita percaya ruang penempatan yang sempit dan sesak adalah faktor yang harus diperhalusi segera KKM bagi memastikan risiko penularan vius dalam kalangan pekerja asing.
“Ia juga bertujuan melaksanakan penjarakan sosial kerana kita tidak mempunyai vaksin pada hari ini sebaliknya penjarakan sosial sahaja satu-satunya vaksi yang kita ada dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette