Home Utama Covid-19: Bersendirian menghadapi maut

Covid-19: Bersendirian menghadapi maut

Dr. Fadhli Suhaimi sedang memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR- Bertugas sebagai Pakar Perunding Intensivist di wad rawatan rapi (ICU) dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perubatan, melihat kematian seseorang pesakit bukanlah perkara baharu buat Dr. Ismail Tan.

Hampir setiap hari beliau berhadapan dengan situasi getir hidup dan mati para pesakit dan dalam masa yang sama terpaksa bertemu dengan waris pesakit untuk memaklumkan perkembangan terkini mereka.

Pakar Intensivist Wad ICU Covid-19, Dr. Ismail Tan di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

Namun, Dr. Ismail tetap meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila melihat pemergian pesakit Covid-19 yang terpaksa melalui detik-detik terakhir di dunia ini bersendirian.

Mereka hanya ditemani pakar dan petugas kesihatan dan bukannya orang tersayang seperti kebiasaan pesakit-pesakit bukan Covid-19

“Pesakit Covid-19 ini berbeza dengan pesakit-pesakit lain kerana mereka diasingkan.

“Jadi kami mendapat idea untuk memberi peluang kepada pesakit yang sedar untuk membuat panggilan video dengan ahli keluarga masing-masing bagi berkongsi perkembangan terkini dan cara ini juga sebenarnya berjaya kerana pesakit dan keluarga dapat berbual sesama sendiri.

“Ahli keluarga juga boleh memberi kata-kata semangat kepada pesakit yang mana kami nampak, ianya memberi kesan yang sangat positif kepada perkembangan pesakit.

“Kematian di ICU bukan satu event tetapi ianya adalah satu proses.

“Ada juga pesakit yang tiba-tiba jantung berhenti sedangkan sebelum itu, tidak berada dalam keadaan sangat kritikal pun. Bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga apabila kali terakhir mereka menatap wajah pesakit adalah sebelum dimasukkan ke wad Covid-19 dan kemudian, anda dengar mereka telah meninggal.

“Ada yang menangis, meraung dan merayu supaya kami benarkan untuk menatap wajah pesakit buat kali terakhir tetapi kami memang tidak boleh benarkan bagi mengelakkan risiko jangkitan.

“Inilah cabaran besar buat kami para petugas kesihatan walaupun sudah terbiasa melihat kematian namun ianya berbeza apabila mengendalikan pesakit Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr. Fadhli Suhaimi memberi bantuan alat pernafasan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU untuk sembuh, Dr. Ismail menjelaskan ianya bergantung kepada bagaimana badan pesakit itu sendiri memberi reaksi kepada virus berkenaan.

Terdapat pesakit Covid-19 di HKL yang berusia 80 tahun berjaya sembuh dan dibenarkan keluar, katanya.

Jelas Dr. Ismail, para petugas kesihatan termasuk di wad ICU hanya mampu memberikan bantuan sokongan seperti alat bantuan pernafasan, dialisis sekiranya berlaku sebarang kegagalan organ untuk berfungsi dengan baik serta merawat simptom yang dihadapi oleh para pesakit.

Pakar Intensivist Wad ICU Covid-19, Dr. Ismail Tan memeriksa seorang pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

Malah terdapat pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan fisioterapi sebelum dibenarkan keluar kerana walaupun telah bebas daripada virus berkenaan namun keadaan fizikal mereka tidak sama seperti sebelum mendapat jangkitan tersebut.

“Sama seperti penyakit lain akibat serangan virus, otot-otot pesakit akan lemah tambahan pula apabila mereka yang berada di dalam keadaan kritikal yang mana sudah lama tidak bergerak dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Apabila sudah bebas daripada virus berkenaan, otot-otot dan badan mereka masih lemah serta memerlukan rawatan fisioterapi,” katanya lagi.

Dr. Fadhli Suhaimi bersama dua pembantu perubatan,, Shahrul Nizam Radzuan (kiri) dan Muhd Nurashraf Ahamed (kanan) berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) sebelum memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Menurut Dr. Ismail, pasukan perubatan yang perlu melakukan intubasi ke atas pesakit Covid-19 perlu memakai sut powered air-purifying respirator (PAPR) bagi mengelakkan jangkitan yang disebarkan oleh pesakit melalui udara.

Tegasnya, objektif pengurusan pandemik Covid-19 ini adalah merawat pesakit dan dalam masa yang sama memastikan petugas kesihatan tidak dijangkiti virus berkenaan.

“Sekiranya perlu melakukan intubasi, kami memerlukan tiga orang petugas yang merangkumi dua pakar intubasi yang kebiasaannya adalah pakar bius dan pakar inventivist dan seorang pembantu pegawai perubatan.

“Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses, kami telah menyediakan kit lengkap supaya apabila seseorang pesakit itu perlu diintubasi, para petugas tidak membuang masa tercari-cari peralatan yang diperlukan.

“Setiap kit yang terdiri antaranya sut PAPR dan sebagainya telah lengkap untuk kegunaan bagi setiap pesakit,” katanya lagi.

-MalaysiaGazette

+ posts