KUALA LUMPUR- Hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang. Kelebihan apa pun yang ada di negara orang, baik lagi di negara sendiri.
Itulah perasaan yang digambarkan oleh seorang penuntut perubatan di Chennai yang selamat tiba di Kuala Lumpur.
Beliau yang kini dikuarantin selama 14 hari di Hotel Impiana, dekat sini berkata, tiada apa yang dapat diungkapkan selain ucapan Alhamdulillah sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari pesawat Malindo pada 18 Mei lalu.
“Stres, takut, tekanan perasaan yang kami alami sejak sebulan lebih lenyap sebaik sahaja pesawat mendarat. Alhamdulillah,” kata penuntut tersebut.
Beliau adalah antara 177 orang warga Malaysia termasuk 20 penuntut di Chennai yang dibawa balik ekoran penularan wabak Covid-19 di Chennai.
Chennai merupakan antara kawasan kes Covid-19 tertinggi di India.
Sebelum ini, penuntut berkenaan pernah meluahkan harapannya kepada MalaysiaGazette supaya kerajaan membawa balik penuntut-penuntut perubatan di Chennai.
Berkali-kali melahirkan rasa syukurnya, beliau berkata, walaupun terpaksa membayar tambang sebanyak RM1,500, lebih dua kali ganda berbanding harga biasa namun yang penting sudah kembali ke tanah air.
“Jika kami masih di sana, kami terpaksa berdepan dengan risiko kerana hospital yang mengambil doktor pelatih sudah kembali beroperasi dan penuntut telah pun diminta membuat latihan.
“Ini menakutkan kami kerana di sana, penularan wabak Covid-19 dilihat sebagai simptom selsema biasa sahaja, begitulah mentaliti di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut penuntut itu lagi, rakyat Malaysia perlu menghargai semua langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan yang menjaga kesihatan dan keselamatan penduduk negara ini dengan begitu baik.
Kedutaan Malaysia bukan sahaja memudah cara pesawat membawa warga negara balik tetapi turut menempatkan penuntut-penuntut dengan selesa.
“Kerajaan jaga kami dengan elok sangat, hotel selesa dan percuma, untuk dua minggu pula. Makan tiga kali sehari. Alhamdulillah.
”Kalau di India, rakyat pun kena scam. Warga negara yang dibawa balik ditempatkan di asrama, bukan hotel dan kena bayar sendiri. Harga pulak mahal.
“Ujian saringan pun sengaja ditangguh-tangguhkan, akhirnya minta ‘duit kopi’ kalau individu tak mahu buat ujian saringan,” dakwa penuntut tersebut.
Meskipun bakal berdepan dengan penangguhan pengajian kerana kemungkinan besar akan balik semula ke Chennai sehingga keadaan wabak reda, tetapi beliau redha demi keselamatan.
Katanya, semua penuntut Chennai yang dibawa balik sudah menjalani ujian saringan Covid-19 pertama dan semuanya negatif tetapi perlu menjalani saringan kali kedua sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga. – MalaysiaGazette