Home Nasional Tapisan ketat di Plaza Tol Jalan Duta

Tapisan ketat di Plaza Tol Jalan Duta

Pelanjutan konsesi Plus Expressway Bhd. (PLUS) selama 20 tahun bermula 2038-2058 masih belum dimuktamadkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada kesesakan luar biasa dan jumlah kenderaan yang memasuki lebuh raya terkawal dengan pemeriksaan dilakukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada pukul 10 pagi mendapati aliran trafik menuju ke utara lancar manakala pergerakan kenderaan yang menghala ke pusat bandar sedikit sesak berikutan pertambahan kenderaan.

Menurut jurucakap JSPT di lokasi, pemeriksaan ke atas kenderaan dilakukan secara teliti berserta tapisan yang ketat.

“Tiga hari pertama ini masih ada yang berdegil untuk merentas negeri bagi berhari raya bersama keluarga tetapi kita di sini buat tapisan yang ketat. Arahan daripada pucuk pimpinan, kita perlu keluarkan kompaun dan minta mereka untuk berpatah balik

“Pagi ini kita tetap teruskan sekatan yang ketat namun sekiranya ada yang terlepas terdapat satu lagi sekatan menghala ke utara di Tanjung Malim.

“Untuk raya pertama (jumlah kenderaan) agak banyak juga, tetapi kebanyakan mereka apabila ditanya ingin beraya di Rawang, Sungai Buloh dan Shah Alam jadi arahan oleh kerajaan untuk beraya dalam negeri tiada masalah tetapi ia hanya terhad pada hari raya pertama sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Memasuki hari ketiga Aidilfitri bermakna orang ramai tidak lagi boleh meneruskan aktiviti ziarah bermula semalam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu, kerajaan hanya memberikan kelonggaran bagi orang awam melakukan kunjung mengunjung pada hari pertama sambutan Aidilfitri sahaja dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard antaranya terhad kepada 20 ahli keluarga sahaja. – MalaysiaGazette