Home Nasional Haramkan arak di kedai serbaneka 24 jam

Haramkan arak di kedai serbaneka 24 jam

Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menyambut baik gesaan Pas untuk menggantung semua aktiviti pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak di negara ini.

Menurut Ketua Penyelaras REACH, Datuk Iskandar Abdul Samad, bukan sahaja digantung malah kerajaan sewajarnya mengharamkan terus penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan stesen-stesen minyak.

“Arak bukan suatu keperluan utama rakyat seperti makanan asas atau ubat-ubatan. Justeru tidak perlu dijual di kedai-kedai tersebut 24 jam sehari.

“Kedai-kedai tersebut dilanggani oleh semua peringkat umur, oleh kerana itu pelajar-pelajar sekolah tidak perlu terdedah kepada minuman tersebut,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya semalam.

Dalam pada itu, arak bukan isu agama yang melibatkan umat Islam semata-mata namun ia telah mencetuskan masalah sosial yang melibatkan semua kaum dan semua agama.

“Kerosakan dan kemudratan akibatnya telah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Isu ini kian menjadi apabila beberapa kemalangan maut berlaku melibatkan pemandu mabuk dan kerajaan hari ini perlu melakukan sesuatu dengan segera.

“Sebelum ini rakyat dijanjikan hukuman yang lebih berat oleh kerajaan lalu bagi pemandu mabuk, tetapi apa yang kita lihat hanyalah peningkatan kematian akibat pemandu mabuk,” katanya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sewajarnya segera membuat pindaan kepada hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk terbabit.

“Menteri Pengangkutan telah menjanjikan pindaan agar hukuman yang lebih berat untuk pemandu mabuk dan akan mengambil kira pandangan orang ramai dan soal selidik.

“Ini kerana telah jelas pandangan orang ramai terhadap isu ini justeru itu tidak perlu membazirkan duit kerajaan untuk membuat kajian lagi,” katanya.

Iskandar juga menemplak sikap sesetengah pihak yang mempertahankan hak bukan Islam di negara ini untuk mengambil minuman beralkohol.

“Mereka lupa hak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak menjadi mangsa kepada masalah-masalah yang timbul akibat arak ini,” katanya.

Kerajaan juga mesti merombak semula klasifikasi bagi arak dengan semua minuman mengandungi alkohol serta memabukkan turut diklasifikasikan sebagai arak tanpa mengira peratus kandungan alkohol.

“Apabila isu klasifikasi ini dibangkitkan ada pula yang mempertikaikannya kerana ia melibatkan ubat-ubat yang mengandungi alkohol.

“Jangan jadikan ini sebagai alasan kerana masalah seperti ini boleh diselesaikan dengan melibatkan pakar-pakar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sokongan REACH atas gesaan PAS kpd kerajaan tepat sekali. Sila baca dan fahami isi kandungan tulisan Datuk IAS. Demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia gantung semua aktiviti pengeluaran, penjualan dan perniagaan arak….di 7Eleven terutamanya yang begitu mudah mendapatkan arak.

Comments are closed.