Home Dunia Indonesia tingkat ujian saringan Covid-19 di Jawa

Indonesia tingkat ujian saringan Covid-19 di Jawa

JAKARTA – Indonesia akan meningkatkan ujian saringan koronavirus dan mengasingkan pesakit yang disyaki dijangkiti di Jawa Timur yang menjadi ‘hot spot’ virus tersebut.

Presiden Joko Widodo memerintahkan pasukan tentera dan polis untuk membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengekang penularan wabak koronavirus di Jawa Timur, sebuah wilayah yang mempunyai hampir 40 juta penduduk.

Jokowi juga meminta barisan Kabinetnya memberi fokus untuk meratakan lengkung virus itu di wilayah lain yang mempunyai kadar jangkitan baru yang tinggi.

Langkah meningkatkan ujian saringan, tindakan agresif menjejak kontak dan melakukan pengasingan individu yang di bawah pengawasan perlu dilaksanakan dalam menangani pandemik Covid-19, kata Jokowi ketika mesyuarat Kabinet hari ini.

Sehari sebelumnya, Presiden Jokowi memerintahkan hampir 350,000 anggota keselamatan untuk membantu memantau pengangkutan awam, pusat membeli-belah dan lokasi pelancongan di bandar dan wilayah yang telah melaksanakan sekatan pergerakan ketika kerajaan sedang bersiap untuk membuka semula ekonomi negara ini.

Namun, lonjakan kes jangkitan di Surabaya, ibu kota Jawa Timur dan kota kedua terbesar di Indonesia, telah menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan bimbang, lantas mewujudkan dua makmal bergerak untuk mempercepat ujian saringan.

Pihak berkuasa merancang untuk menambah sekurang-kurangnya tiga unit makmal lagi, kata Ketua Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia, Doni Monardo.

Jumlah jangkitan koronavirus di Jawa Timur melonjak lebih dari empat kali ganda pada bulan ini kepada hampir 4.000, menyumbang 17 peratus daripada jumlah di peringkat nasional, naik daripada 9.4 peratus pada akhir April, menurut data rasmi.

PT Hanjaya Mandala Sampoerna, sebuah unit Philip Morris International Inc, menutup dua buah kilang berhampiran Surabaya setelah puluhan pekerja dijangkiti Covid-19, termasuk dua orang meninggal dunia.

Kes Covid-19 telah melonjak di Indonesia dalam beberapa minggu terakhir dengan jumlahnya mencapai 23,165 pada hari Selasa dan kematian mencapai 1,400. – MalaysiaGazette